fbpx

HLYM lancar skuter NMAX baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) akhirnya memperkenalkan model skuter generasi baharu NMAX menerusi penstriman di Facebook sebentar tadi.

Skuter NMAX menerima penambahbaikan reka bentuk yang lebih menawan berbanding model NMAX yang dijual di pasaran sebelum ini.

Antaranya, lampu utama yang dipasang pada Yamaha NMAX baharu menggunakan enam lampu LED yang dibahagi kepada dua iaitu lampu tinggi dan rendah.

Lampu rendah menggunakan empat unit lampu LED dan diposisikan di atas lampu tinggi (dua LED) dalam satu perumah sama.

HLYM mendakwa kedudukan lampu LED itu membantu membekalkan pencahayaan yang lebih luas dan baik khususnya ketika tunggangan waktu malam.

Lampu belakang turut diberi sentuhan baharu dan pastinya jauh lebih menarik berbanding model sedia ada.

Bentuk lampu baharu kini lebih tirus juga menggunakan lampu LED seperti model sebelumnya. Cumanya, ada empat jalur LED (kiri dan kanan) digunakan untuk gaya paparan tiga dimensi.

Tambahan lain ialah ciri lampu kecemasan yang mengaktifkan nyalaan kedua-dua lampu signal secara serentak.

Yamaha NMAX didatangkan dengan instrumen meter LCD dan paparan maklumat boleh diubah dengan menekan satu butang dekat tuil brek tangan kiri.

Enjin teknologi Blue Core digunakan iaitu jenis silinder tunggal berkapasiti 155cc dengan sistem VVA. Sistem transmisi NMAX ialah jenis CVT.

Enjin ini juga dilengkapi ciri Unit Kawalan Penghidup Generator yang membolehkan kawalan bersepadu dengan Sistem Penghidup Motor Pintar.

Tujuannya untuk membolehkan enjin dihidupkan dengan lebih senyap. Output kuasa dan tork masing-masing adalah 15.4PS pada 8,000rpm dan 13.9Nm pada 6,000rpm.

Skuter ini didatangkan bersama sambungan soket 12V untuk anda mengecas telefon pintar.

Yamaha NMAX ada sistem Henti & Mula, satu situasi enjin akan dimatikan secara automatik apabila sistem mendapati skuter berhenti seketika, contohnya di lampu isyarat jalan raya.

Enjin akan diaktifkan semula dengan hanya memulas pendikit minyak. Ciri ini adalah untuk membantu anda jimat penggunaan minyak petrol. Saiz tangki NMAX baharu ialah 7.1 liter.

Penunggang boleh menyimpan topi keledar bersama beberapa barang kecil di bawah pelana. Kapasiti simpanan bawah tempat duduk NMAX adalah seluas 23.3 liter.

Ada dua pilihan warna untuk NMAX baharu iaitu merah dan kelabu. Skuter ini sudah berada di bilik pameran pengedar dan harga runcit yang disyorkan ialah RM8,998.

Ini tidak termasuk insurans, kos pendaftaran dan lain-lain.