fbpx

Balasan sara adik dengan merompak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

DILAHIRKAN dalam keluarga serba kekurangan, kehidupan Khairul (bukan nama sebenar) agak sukar sejak usia kanak-kanak hingga meningkat remaja.

Sebagai anak sulung daripada lima beradik, Khairul memilih untuk berhenti sekolah pada usia 16 tahun bagi meringankan beban kewangan keluarga.

Di sekolah, Khairul bukanlah pelajar yang bermasalah, malah pencapaianya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) cukup membanggakan.

Bagaimanapun, dia terpaksa berhenti belajar kerana bapanya yang juga seorang petani sepenuh masa tidak mampu menyara Khairul dan tiga lagi adiknya. Ibunya pula telah meninggal dunia sejak dia berusia 13 tahun akibat menghidap kanser usus.

Bagi Khairul, dia tidak ada masalah untuk berhenti sekolah awal kerana tidak mahu membebankan bapanya yang mempunyai pendapatan tidak menentu.

Selepas berhenti sekolah, dia memilih melakukan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah membaja dan meracun sawah di sekitar rumahnya.

Dengan upah serendah RM20 sehari, Khairul melakukan kerja-kerja tersebut tanpa rasa penat kerana niatnya adalah untuk membantu keluarga.

“Saya tidak pernah rasa kecewa sebab tidak dapat meneruskan pelajaran seperti kawan-kawan yang pastinya mempunyai masa depan lebih cerah.

“Bagi saya, pelajaran bukan sudah tidak penting, namun perkara lebih utama ialah kami sekeluarga ada makanan untuk dijamah di rumah,” katanya.

Wang yang diperoleh Khairul digunakan sebaik mungkin untuk membantu bapanya membeli barang keperluan dapur dan membayar bil elektrik serta air.

Bahkan, Khairul juga individu yang bertanggungjawab menyara adik-adiknya belajar di sekolah termasuk menyediakan kelengkapan seperti beg, baju serta membayar yuran sekolah.

Harapannya hanya satu, dia ingin melihat adik-adiknya berjaya dalam pelajaran dan tidak mahu mereka mengikut jejak langkahnya yang tidak menamatkan pengajian.

“Saya sanggup membelanjakan semua pendapatan yang diperoleh untuk menyara kehidupan dan pelajaran adik-adik.

“Saya ingin melihat adik-adik saya berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang bagus apabila mereka dewasa kelak,” ujarnya.

Selang beberapa tahun, kehidupan Khairul bertambah sukar apabila bapanya telah ditakdirkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Dia terpaksa mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan mencari wang untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

 

AKIBAT jenayah terkutuk yang telah dilakukan Khairul, dia telah dihukum penjara selama 15 tahun.–GAMBAR HIASAN

 

Ditakdirkan, dua orang adiknya yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi memerlukan wang untuk menyara kehidupan mereka di kampus.

Disebabkan kerja mengambil upah di sawah tidak mencukupi, maka Khairul telah dipelawa mengikut rakannya melakukan kerja pecah rumah.

Pada peringkat awal Khairul menolak pelawaan rakannya itu, namun disebabkan kesempitan wang untuk menyara adik-adik, dia tidak ada pilihan kecuali menerimanya.

Sasaran Khairul dan rakannya adalah rumah-rumah besar di sekitar Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah yang diyakini menyimpan barang kemas atau wang tunai. Kerja terkutuk yang dilakukan Khairul berlarutan selama beberapa tahun.

Wang hasil rompakan Khairul telah digunakan untuk membantu adik-adiknya sampai ke menara gading dan memperoleh kerjaya seperti peguam dan doktor. Dia tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk kesenangannya sendiri.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, begitulah nasib Khairul apabila dia telah ditangkap ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Gurun.

Selepas perbicaraan, dia telah disahkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun. Selepas keluar dari penjara pada usia 50 tahun, Khairul kembali ke rumahnya di kampung.

Malangnya, adik-adiknya tidak pernah bertanya khabar dan membiarkan Khairul tinggal seorang diri di kampung dalam serba daif.

Pada usia sebegitu, Khairul tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat seperti ketika muda sekali gus menyebabkannya hidupnya melarat.

“Adik-adik saya, mungkin malu mempunyai seorang abang seorang penjenayah. Meskipun niat saya baik untuk membantu adik-adik, namun cara saya salah. Saya reda, mungkin ini balasan yang perlu saya terima di atas kerja jahat yang diakukan selama ini,” katanya kesal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI