BALING – Walaupun telah tiga tahun berlalu, tragedi kepala air yang meragut tiga nyawa dan kemusnahan harta benda masih menghantui dan mendatangkan trauma kepada penduduk Kampung Iboi, Kupang di sini.
Namun, di sebalik tragedi dahsyat itu, sebahagian penduduk bersyukur kerana bencana itu membuatkan masyarakat kampung menjadi insaf selain sering bersepakat dan saling memahami untuk kepentingan bersama.
Abd. Rahman Said, 74, berkata, tragedi itu masih jelas dalam ingatannya dan sukar dilupakan.
“Saya kehilangan isteri, Salmah Mat Akib, 53, anak tiri, Muhammad Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, dan menantu, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang ketika itu sedang hamil akibat dihanyutkan bersama rumah mereka.
“Kebahagian yang ada diambil sekelip mata dan rasa seolah terputus tali. Saya hadiahkan Fatihah setiap kali teringat mereka dan yakin mereka syahid walaupun lemas kerana mati dalam keadaan baik. Janji Allah itu benar,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, tragedi pada 5 Julai 2022 itu berlaku apabila kawasan tersebut dilanda kepala air dan banjir lumpur yang memusnahkan puluhan kediaman di lima buah kampung serta mengorbankan tiga individu pada pukul 5 petang.
Menurut Abd. Rahman, dia percaya pada ketentuan Allah walaupun tidak mengetahui cerita sebenarnya mengenai tragedi itu.
“Manusia tidak memberi kesan apa kehendak Allah, Dia merancang dan Dia yang menjadikannya, kita semua di bawah takluk Dia,” katanya.
Bekas Ketua Kampung, Nor Mohamad Husain, 60, berkata, tragedi itu mengakibatkan jambatan runtuh, ditenggelami air dan laluan terjejas.
“Disebabkan bantuan daripada agensi kerajaan dan Pasukan Penyelamat terlalu sukar dilaksanakan, jadi dengan kerjasama penduduk kita sendiri, membantu memberi bantuan awal kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Menurut Nor Mohamad, bencana itu memberi pengajaran bahawa makhluk sentiasa bergantung kepada Allah SWT.
“Masih ada penduduk yang trauma sehingga kini. Sebahagian telah membina rumah baharu di Kampung Sadek dan Kampung Bok Bak,” katanya.
Ujar Nor Mohamad, penduduk berterima kasih kepada kerajaan kerana membina Empangan Sabo bagi melambatkan arus atau kurangkan risiko kepala air dan beberapa jambatan yang rosak telah dibina semula iaitu di Kampung Padang Empang, Kampung Iboi dan Lata Celak.
“Jambatan Bailey yang dipasang sejak tiga tahun lalu dijangka akan diganti dengan jambatan lebih kukuh setelah lawatan tapak dilaksanakan oleh agensi berkaitan baru-baru ini,” katanya.
Dia juga berharap agar kajian pemulihan tanah dilaksanakan ke atas kawasan yang musnah termasuk sawah yang diganti dengan tanaman bersesuaian untuk meningkatkan semula ekonomi dan aktiviti pertanian di sini.














