Akhir-akhir ini, kisah penemuan mayat-mayat yang sudah reput kerap menjadi paparan berita yang mengejutkan ramai.

Mayat reput, isyarat sunyi dunia sibuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU benar peduli, peduli itu mesti nampak dan buat, jangan hanya tertera pada ruangan komen media sosial atau notifikasi siapa yang melihat status WhatsApp atau Insta Story semata-mata.

Peduli harus terlihat dan didengari secara konvensional, harus cakna, santun menyantuni bukan sekadar ambil tahu di angin lalu.

Itu hanya tamparan halus buat masyarakat kita seperti menyedarkan sesuatu, sebaik terpampang sahaja kisah-kisah penemuan mayat reput sejak kebelakangan ini.

Paling menyedihkan mayat-mayat itu ditemui di dalam rumah, bukannya di dalam gaung atau di dasar lombong yang jauh daripada pancaindera manusia. Rumah yang sepatutnya menjadi kiblat keluarga dan diperhatikan tetangga akhirnya menjadi pusara sementara buat segelintir insan malang.

Lebih malang, ada yang bermakam tanpa ditalkin di rumah sendiri selama bertahun-tahun seperti yang berlaku pada September 2024 apabila seorang lelaki tua ditemukan dalam keadaan menghibakan di rumahnya di Kuala Lumpur. Yang tinggal hanya tengkorak dan selonggok tulang untuk ditatap anak cucu.

Bayangkan, hanya selepas empat tahun terbiar mereput barulah mayat itu ditemui anak lelakinya yang kali terakhir berhubung dengan arwah pun pada 2020. Arwah memang memang tinggal sendirian, namun semasa hayatnya, dia mengajar anak-anak sekitar pangsapuri mengaji al-Quran.

Baru-baru ini seorang guru wanita ditemui reput, juga di rumah sendiri. Anak tunggal kematian ibu bapa itu disyaki kemurungan dek tidak hadir mengajar sejak September dan dipercayai meninggal sekitar sebulan lalu. Beberapa hari lalu, sekali lagi mayat wanita 40-an ditemui hampir reput bersama anak kecil di rumahnya di Pulau Pinang.

Terkini, mayat tiga beranak, bapa 61 tahun, ibu (59) dan anak lelaki 30 tahun ditemui hampir mereput di sebuah rumah di Negeri Sembilan.

Takdir yang tersurat itu satu hal yang tidak boleh disangkal. Yang jelas, hampir semua kisah mayat reput itu berbunyi penyataan; ‘Mayat ditemui selepas jiran terhidu bau busuk’.

Di sebalik tajuk pilu, itu bukanlah sekadar sensasi, sebaliknya cerminan betapa sunyinya sebahagian manusia di sekeliling kita. Mereka menjauh daripada masyarakat, jatuh sakit sendirian dan akhirnya menutup hayat tanpa disedari sesiapa.

Kenapa kisah begitu semakin kerap berlaku? Dalam zaman ini, telefon menjadi alat perapat jarak, namun jahatnya menjauhkan hati dengan kiblat sebenar (rumah). Anak merantau jauh, jiran-jiran kurang bergaul, pintu rumah berkunci. Terkadang, kemiskinan dan kemurungan menjauhkan mereka daripada keluarga dan masyarakat.

Hakikatnya, mayat reput bukan hanya soal orang mati yang sudah ajalnya begitu sebaliknya satu isyarat orang hidup semakin hilang kepedulian atau terlalu sibuk untuk memerhati. Yang mati tinggal reput, yang hidup terus berlari, esok lusa, yang hidup dalam format ‘sendiri’ siapa pun boleh menjadi berita seterusnya.

Sedih, tetapi itulah hakikatnya. Sejauh ini, berdoa dan berusahalah moga para terakhir hikayat hidup kita semua kelak berakhir tenang di sisi orang yang kita sayang. Mohon jangan sampai ‘busuk’ baru disedari orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN