fbpx
skuter maxi ini menawarkan penunggangan yang selesa dengan tempat letak kakinya direka secara dinamik untuk kedudukan kaki lebih fleksibel.– FAUZI BAHARUDIN

Nilai tambah Modenas Elegan 250 ABS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOTOSIKAL dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) baru-baru ini melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS dengan tanda harga RM15,315.

Pengenalan motosikal tersebut dengan harga berkenaan mendapat sambutan baik daripada para peminat.

Rata-rata berpendapat dengan tanda harga dan spesifikasi yang didatangkan bersama motosikal tersebut menjadikannya skuter yang berbaloi dimiliki kerana memberi lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan bagi motosikal dalam segmennya.

Walaupun reka bentuk Modenas Elegan 250 ABS baharu itu mungkin tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini, namun varian kali ini menawarkan beberapa ciri tambahan.

Teknologi baharu Modenas Elegan 250 versi ABS ini dilengkapi dengan enjin suntikan bahan api, empat lejang dan silinder tunggal, SOHC 250cc yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm.

Ia mempunyai sistem penyejukan cecair untuk meningkatkan prestasi penyejukannya serta memberikan perlindungan dan ketahanan pada enjin.

Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan meter laju atau speedometer digital pelbagai fungsi yang memaparkan beberapa maklumat tambahan.

Menerusi speedometer itu, penunggang skuter boleh melihat maklumat seperti meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan peringatan penukaran minyak.

Beberapa ciri tersebut tidak didapati pada model-model yang harganya jauh lebih tinggi di pasaran.

Satu lagi ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik di kotak simpan pada papan pemuka.

Soket itu membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka ketika berada di atas jalan atau pada bila-bila masa sahaja.

RUANG bawah tempat duduknya cukup besar untuk penyimpanan barang.

Dalam pada itu, ciri keselamatan terbaik Skuter maxi Modenas Elegan 250 itu adalah sistem ABS dua saluran di bahagian depan dan belakangnya.

Sistem berkenaan membantu mengelakkan roda daripada terkunci dan memberikan daya berhenti yang unggul dalam semua keadaan cuaca.

Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis diod pemancar cahaya (LED) yang membantu penglihatan penunggang dan pengguna jalan raya lain.

Bagi peminat skuter ini, lampu belakang ikonik berbentuk X jenis LED pula memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain semasa menunggang pada waktu malam.

Reka bentuk premium

Modenas Elegan 250 ABS direka untuk keselesaan dan praktikaliti. Skuter maxi itu menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar. Saiz ruang simpanan itu memboleh pengguna memuatkan dua helmet di dalamnya atau apa sahaja yang dirasakan perlu.

Tempat duduknya memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng, manakala tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel.

Ia bagi memastikan penunggang berasa lebih selesa dalam semua jenis situasi tunggangan.

MOTOSIKAL ini turut dilengkapi kemudahan soket untuk mengecas telefon bimbit.

Selain daripada peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan lebih stabil.

Modenas Elegan 250 ABS hadir dalam dua pilihan warna iaitu matte satin merah dan matte satin hitam.

Skuter itu boleh didapati di semua premis pengedar sah Modenas bermula bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan ketika memperkenalkan jentera baharu syarikat tersebut baru-baru ini menyatakan beliau percaya skuter itu akan memberi impak bagi pasaran motosikal tempatan.

Pada masa sama, beliau juga optimis terhadap prestasi perniagaan Modenas di sebalik situasi pandemik Covid-19.

“Pelancaran Modenas Elegan 250 ABS ini telah memberikan lebih pilihan kepada pelanggan terutama untuk segmen skuter maxi.

“Dengan adanya sistem ABS yang merupakan salah satu ciri keselamatan penting pada sebuah motosikal ditambah beberapa ciri serta warna baharu, saya yakin ia akan berjaya di pasaran,” katanya.

Menurutnya, walaupun situasi pandemik masih tidak menentu di negara ini, Modenas telah bekerja keras selama beberapa bulan kebelakangan ini untuk menebus masa yang hilang akibat gangguan pandemik tersebut.

“Kami merancang untuk melancarkan lebih banyak produk yang kami percaya akan membantu Modenas mengakhiri tahun ini dengan kedudukan yang kukuh,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN