fbpx

Kumpulan bergaduh di pub ada kaitan kongsi gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman kejadian yang tular di laman media sosial.

PETALING JAYA – Siasatan polis berhubung kejadian pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong malam kelmarin mendapati suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil siasatan awal kumpulan ini dipercayai merupakan Geng 18, Batu 14, Puchong.

“Polis telah mengambil maklum berkenaan penularan kejadian pergaduhan yang melibatkan seorang individu bergelar Datuk yang memukul anggota polis di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur dan difahamkan, gelaran Datuk tersebut hanyalah nama panggilan sahaja.

“Pihak Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kumpulan ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama dua hari bermula 26 hingga 27 November 2020 dan disambung reman selama tiga hari lagi sehingga 30 November dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Manakala, anggota polis yang ditangkap telah diberi jamin dan dibebaskan kerana merupakan mangsa di dalam kes tersebut.

“Pihak polis juga turut menerima satu laporan daripada pemilik premis berkenaan kes peras ugut oleh kumpulan ini yang meminta bayaran wang perlindungan dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu, pemilik pub berkenaan hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling memaklumkan menerima panggilan daripada pekerjanya yang memberitahu berlaku pergaduhan di premis itu pada malam kelmarin.

Siasatan awal berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) juga mendapati, kejadian berlaku ketika 15 orang lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun masuk ke dalam pub dan memulakan pergaduhan.

Serbuan polis telah berjaya menahan 15 orang individu dan turut merampas beberapa dadah jenis ekstasi, syabu dan erimin 5. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI