fbpx

Hati-hati penyamar telefon minta wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Ezanee

PETALING JAYA – Statistik laporan polis kategori Jenayah Siber dan Multimedia yang diterima sejak Januari sehingga November 2020 menunjukkan sebanyak 78 laporan telah dibuat mangsa melibatkan kerugian hampir RM7 juta dengan menggunakan pelbagai modus operandi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kertas siasatan yang dibuka melibatkan modus operandi penyamaran yang mengkibatkan kerugian mencecah RM250,000.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya banyak menerima laporan berhubung kes melibatkan jenayah siber dan multimedia khususnya berkenaan penipuan dalam talian menggunakan modus operandi menyamar sebagai rakan atau ahli keluarga bagi urusan pinjaman wang.

“Apa yang lebih menarik, suspek berjaya memperdaya mangsa dengan meniru suara sebenar atau mirip suara rakan serta ahli keluarga mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Ezanee, suspek pada mulanya akan memperkenalkan diri sebagai rakan atau ahli keluarga mangsa dan memaklumkan nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor telefon baharu kerana nombor telefon asal telah hilang.

“Mangsa kemudiannya akan diberikan nombor akaun bukan milik rakan atau ahli keluarga mangsa untuk tujuan pemindahan wang.

“Tanpa membuat semakan terlebih dahulu, mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun yang diberi dan mula menyedari telah ditipu apabila cuba menghubungi rakan atau ahli keluarganya yang sebenar menggunakan nombor telefon asal milik mereka dan mendapati tiada permintaan sedemikian,” jelas beliau.

Jelas Nik Ezanee, modus operandi ini tidak mensasarkan mana-mana golongan tetapi penjenayah sentiasa berusaha memperdaya mereka yang leka dengan taktik-taktik baharu.

“Dalam keadaan negara sedang mengalami masalah pandemik Covid-19, ramai yang cuba mengambil kesempatan malah penjenayah-penjenayah ini tidak memikirkan kesusahan orang lain dan sentiasa cuba mencari wang dengan jalan mudah iaitu memperdayakan mangsa.

“Polis Petaling Jaya menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan mana-mana panggilan yang tidak dikenali dan semak dahulu kesahihan maklumat yang diperolehi sebelum mengambil tindakan yang boleh merugikan kita,” pesan beliau.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI