fbpx

Belanjawan 2021 lulus sebulat suara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

PETALING JAYA – Dewan Rak­yat di sini semalam meluluskan Belanjawan 2021 atau Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar selepas mendapat undian majoriti oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Keputusan itu sekali gus me­nyaksikan beberapa peruntukan tambahan diluluskan termasuk dua isu yang mendapat perhatian rakyat membabitkan penge­luaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium.

Ia turut menamatkan spekulasi mengenai kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini dikatakan akan tumbang sekiranya Belanjawan 2021 ditolak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun me­ngumumkan keputusan itu pada pukul 3.28 petang selepas kira-kira satu jam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan penggulungan untuk bacaan kali kedua.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun dan mencadangkan undian secara belah bahagi, namun usaha berkenaan gagal selepas hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun untuk menyokong usul berkenaan.

Pengundian secara belah bahagi untuk kelulusan RUU Perbekalan 2021 boleh diadakan sekiranya terdapat 15 Ahli Parlimen bangun menyokong usul tersebut.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2020 telah dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula 9 November lalu.

RUU berkenaan akan dibahas semula di peringkat jawatankuasa sebelum pengundian dilakukan sekali lagi minggu hadapan.

Pada sesi penggulungan semalam, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa kerajaan akan memperluaskan pengeluaran skim i-Sinar daripada Akaun 1 KWSP kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Peruntukan sebanyak RM70 bilion itu dijangka memanfaatkan seramai 8 juta ahli tanpa mengira mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pe­ngurangan pendapatan pada tahun ini.

“Setelah berbincang dengan pengurusan KWSP pagi tadi (semalam), sukacita diumumkan bahawa program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka.

“Daripada 2 juta ahli KWSP yang layak mengeluarkan Akaun 1 sebelum ini, i-Sinar kini dibuka kepada lebih 8 juta ahli KWSP. Ahli KWSP layak memohon pengeluaran tanpa mengira me­reka pekerja di sektor formal atau bekerja sendiri,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan memberi lanjutan mo­ratorium bank secara automatik kepada golongan B40 dan golo­ngan peniaga kecil.

Katanya, golongan M40 pula hanya perlu buat perisytiharan diri tanpa perlu sebarang dokumen.

“Kerajaan berpendapat tidak adil untuk orang kaya yang mampu membayar pinjaman diberikan moratorium pinjaman.

“Bukankah lebih baik mereka membayar hutang, supaya duit masuk ke dalam sistem perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman, khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan kepada rakyat,” tambahnya

Mengenai bantuan khas kepada petugas barisan hadapan, beliau berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan bantuan secara one-off sebanyak RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain.

“Dalam ucapan Belanjawan 2021 sebelum ini, kerajaan memperuntukkan bantuan khas one-off RM500 kepada petugas barisan hadapan KKM sahaja.

“Justeru, saya umumkan kerajaan telah bersetuju untuk memperluaskan bantuan khas secara one-off ini sebanyak RM300 kepada semua petugas barisan hadapan yang lain termasuklah kepada Polis Diraja Malaysia, Ang­katan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sebagainya,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI