HUBUNGAN Wani Syaz dengan Wany Hasrita sebenarnya sudah seperti adik-beradik memandangkan mereka bernaung bawah label muzik yang sama.

Wani Syaz tidak tiru gaya orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANPA sedar industri hiburan tanah air memiliki tiga orang penyanyi wanita menggunakan pangkal nama Wani sebagai jenama komersial di atas pentas. Menjadikan ketiga-tiga mereka itu berbeza ialah nama akhir iaitu Wani Syaz, Wany Hasrita dan Wani Kayrie.

Jika dari aspek sebutan, sepintas lalu pangkal nama itu seperti merujuk kepada orang yang sama. Ironinya tiga Wani itu mempunyai jalur dan identiti muzik berbeza. Masing-masing juga dalam posisi berlainan bagi membuktikan kemampuan sebagai penghibur.

Begitu juga dengan Wani Syaz atau nama lengkapnya Nur Syazwani Selamat yang berpegang pada prinsip untuk sentiasa tampil berbeza dalam setiap setiap single baharu.

Bagaimanapun, dia tetap mengekalkan elemen duet sebagai ‘cop dagang’ sementelah empat lagu sebelum ini dinyanyikan secara bergandingan dengan penyanyi rap W.A.R.I.S dan Juzzthin.

Ramuan serupa digunakan tatkala tampil dengan single berjudul Habibi.

Mengetengahkan aura padang pasir, lagu gandingan yang masih kekal bersama W.A.R.I.S tersebut mendapat pujian khalayak, namun tidak kurang juga yang melontarkan kata-kata pedih buat penyanyi berusia 25 tahun itu.

Disebabkan nama yang serupa serta konsep lagu seakan-akan sama, Wani tidak mudah melatah apabila ada khalayak mengatakan dirinya meniru konsep penampilan Hasrita menerusi lagu Canggung.
Kedua-dua lagu tersebut mengangkat elemen padang pasir sebagai latar penceritaan dalam video muzik yang dihasilkan.

Kata Wani, tidak terlintas dalam hatinya mahu meniru idea mahupun konsep Canggung apatah lagi menjadikan pemilik gelaran Bintang Paling Popular 2018 itu sebagai saingan yang perlu dikalahkan.

 

RAKAMAN video muzik Habibi hanya dibikin dalam masa sehari di sebuah studio di Kuala Lumpur sekitar tiga bulan lalu.

 

“Lagu tersebut diperdengarkan oleh syarikat rakaman dan saya menyukainya. Tambahan pula, sekali lagi saya bergandingan dengan W.A.R.I.S.

“Itu sudah cukup membuatkan saya berasa gembira. Bukan sahaja berasa selesa tetapi dia seorang yang mudah mesra dan gemar berjenaka membuatkan kami mudah untuk bekerja.

“Sejujurnya saya tidak meniru Wany Hasrita dengan menghasilkan lagu hampir serupa dengannya.

“Kedua-duanya video muzik, Canggung dan Habibi kelihatan sama kerana kami menggunakan pengarah dan penari yang sama. Begitu juga dengan konsep kostum. Bagaimanapun, ada beberapa perubahan turut dilakukan,” jelas Wani.

Dia juga tidak terfikir untuk meletakkan persaingan dengan Wany Hasrita apatah lagi kedua-duanya bernaung bawah bumbung label yang sama iaitu FMC Music.

Tanggapan negatif

Dalam nada yang lemah lembut dan sopan tatkala berbicara, Wani menaruh harapan tinggi agar lagu ciptaan DJ Fuzz, AZIQUEBEATS dan W.A.R.I.S itu diterima baik pendengar dan mudah mesra menjadi santapan halwa telinga ramai.

Secara peribadi Wani akur dengan kedudukan dirinya jika dibandingkan dengan penyanyi popular lain.

Meskipun sudah lapan tahun bernafas dalam industri hiburan tempatan, dia belum berada di tahap selesa.

Kitaran karier anak seni yang tidak selalunya disanjung juga cukup dimengerti. Jadi, dia perlu terbuka dalam menerima kritikan dan teguran termasuk tanggapan negatif khalayak.

Atas kesedaran tersebut, Wani sudah bersedia andai sekali lagi kemunculannya menerusi Habibi dikecam ramai. Baginya kecaman tidak sedikitpun akan meninggalkan kudis. Sebaliknya, dia enggan mengendahkan isu tersebut.

“Hubungan kami tidak ubah seperti adik-beradik. Dia (Wany Hasrita) sendiri mengucapkan tahniah atas pelancaran video Habibi pada 16 November lalu.

“Kami masing-masing teruja kerana mempunyai konsep lagu yang sama,” tegas Wani.

Asyik bercerita tentang kerjaya nyanyian, Wani turut berkongsi kecintaannya terhadap dunia perniagaan. Siapa sangka pada usia muda, Wani yang sudah memiliki sebuah restoran, Beezer Box di Batu Pahat, kini mahu berjinak-jinak sebagai usahawan kosmetik.

 

SENTIASA berusaha untuk memberikan kelainan kepada pendengar, Wani tidak menolak sekiranya dia diberi peluang untuk menyanyikan lagu berentak dangdut.

Undang-undang

Perniagaan menjadi persediaan andai tidak lagi aktif dalam industri hiburan, sama seperti yang dilakukan barisan artis popular lain.

Masih baharu dalam pasaran, produk kosmetik Wani dinamakan sebagai Syazz Cosmetics.

“Saya memilih untuk menceburi bidang perniagaan kosmetik kerana ada modal lebih. Tambahan saya juga mempunyai lebih masa untuk fokus kepada diri sendiri kerana ada ahli keluarga yang membantu dalam menguruskan restoran.

“Saya memilih produk kosmetik kerana enggan terlibat dengan penghasilan produk penjagaan kulit. Sekiranya saya ingin menghasilkan produk sebegitu, saya perlu lebih teliti kerana kulit setiap orang berbeza, ada yang kering, berminyak dan sensitif.

“Ini merupakan hal serius yang perlu diambil kira sekiranya ingin bertahan. Saya juga bimbang sekiranya pengguna memakai produk tersebut, mereka akan mengalami masalah kulit sehingga menjejaskan kesihatan,” jelasnya panjang lebar.

Baginya, setiap usahawan harus bersikap jujur bagi memenuhi cita rasa pengguna.
Kualiti produk terutama kandungan bahan yang digunakan harus diberi penekanan agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna.

Status sebagai selebriti juga ibarat merempuh sarang tebuan. Jika tersalah langkah akan mengundang padah. Semakin tinggi populariti seseorang artis, semakin besar risiko yang bakal dihadapi jika terjebak perkara menjatuhkan.

“Bagi mengekalkan kualiti, saya memastikan produk yang dipasarkan mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan dan mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Sebagai peniaga, saya perlu memberi jaminan keselamatan agar pengguna yakin untuk menggunakan produk yang dipasarkan.

“Memandangkan perniagaan ini masih baharu, saya mengharapkan sambutan positif pengguna,” ujarnya seraya melepaskan ketawa kecil.

Buat masa ini, Wani pastinya menjadikan platform media sosial untuk memperkenalkan produk keluarannya selain bertindak sebagai penghubung dengan peminat. Sekiranya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti, Wani akan menghasilkan kandungan untuk dimuat naik dalam YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN