fbpx

PKPD tamat: 200 penghuni, pekerja Medan 88 akan jalani ujian saringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

SEPANG – Kira-kira 200 penghuni dan pekerja di premis perniagaan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dijangka akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik sahaja operasi perniagaan itu dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, penghuni dan pekerja yang dikenal pasti sebelum ini tidak pulang ke Medan 88 akan dikesan melalui majikan.

“Maklumat majikan akan direkodkan semula untuk mendapatkan jumlah sebenar penduduk.

“Sehubungan dengan itu, polis akan membantu Majlis Perbandaran Sepang mengesan mereka berdasarkan jumlah penghuni dan pekerja kedai yang belum menjalani ujian saringan.

“Kemudian polis akan mengambil mereka untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Dewan BBST,” katanya.

Beliau  berkata demikian pada sidang akhbar penamatan PKPD Medan 88, BBST di sini tengah malam tadi.

Wan Kamarul Azran berkata, mana-mana individu yang dikenal pasti belum lagi menjalani ujian saringan itu tidak dikenakan sebarang kompaun.

Katanya, sepanjang pelaksanaan PKPD, Medan 88 BBST, penghuni dan pekerja premis kawasan itu memberikan kerjasama yang baik.

“Tiada sesiapa pun cuba melarikan diri dari kawasan PKPD meskipun pada peringkat awal pihak berkuasa menganggarkan 400 penghuni ‘hilang’.

“Anggaran saringan pertama ketika itu antara 300 ke 800 penghuni, namun kira-kira 400 orang tidak dapat dikesan.  Sebenarnya mereka bukan lari tetapi berada di luar kerana bekerja,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, secara keseluruhan, seramai 56 orang penduduk di Medan 88 positif Covid-19 dengan 44 daripadanya sebelum PKPD dilaksanakan.

Menurutnya, jumlah positif Covid-19 selepas PKPD dilaksanakan pula adalah seramai 12 orang daripada 965 saringan yang dibuat.

“Seramai 142 pekerja premis perniagaan yang tinggal di luar PKPD juga sudah mengadakan ujian saringan dan menjalani kuarantin.

“Petugas barisan hadapan turut disaring melibatkan seramai 138 orang yang kesemuanya didapati negatif,” katanya.

Mereka terdiri daripada 67 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (19), petugas RELA (16) dan petugas Pejabat Daerah Sepang (13), Jabatan Kebajikan Masyarakat (18) dan lima petugas Jabatan Penerangan.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan tujuh pegawai dan 120 anggota dari Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Bentong diketuai Pegawai Pemerintah, Leftenan Kolonel Ahmad Nirman Fariz Zakaria turut bertugas untuk pelaksanaan PKPD di kawasan Medan 88 Salak Tinggi, berkuat kuasa bermula 12 hingga 25 November lalu.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI