fbpx
DANIAL CHUER

Danial Chuer takkan ulangi kesilapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERADA di posisi pertama selama empat minggu berturut-turut dalam program realiti terbaharu terbitan TV3, Vokal Mania bukanlah satu perkara yang sangat dibanggakan Danial Chuer.

Untuk rekod, kedudukan yang berdasarkan jumlah undian penonton tersebut, jauh meninggalkan 23 peserta Rookie lain.

Bahkan, ada yang sudah menjangkakan penyanyi berusia 19 tahun itu bakal melangkah ke peringkat akhir rancangan tersebut gara-gara berjaya mengalahkan Indah Ruhaila dalam pusingan Battle dua minggu lalu.

Ekoran daripada kemenangan pada minggu tersebut, seorang daripada seorang juri, Yusri Abdul Halim turut meramalkan Danial sebagai antara Rookie yang bakal melayakkan diri ke final. Kenyataan Yusry direstui ramai.

MENGIMPIKAN gelaran seorang pencipta lagu terkenal suatu masa nanti, Danial memberitahu dia juga sering menyumbang idea dan banyak menghasilkan lagu bersama rakan-rakannya.

Tekanan

Diletakkan harapan setinggi gunung, tekanan pasti memuncak di dada Danial. Situasi tersebut dirasai oleh bekas juara pertandingan realiti kanak-kanak, Idola Kecil musim keenam itu.

Akui Danial atau nama sebenarnya Danial Cheur Hamasiah, dia sedikit tertekan kerana ramai meletakkan harapan tinggi terhadapnya untuk memenangi pertandingan tersebut.

“Ketika melihat saya berada di tempat pertama carta undian Rookie pada konsert minggu pertama, memang tidak jangka. “Lebih terkejut, kedudukan undian saya tidak berubah sehingga ke hari ini.

“Sejak awal, memang sudah ada tekanan lebih-lebih lagi ramai meramalkan termasuk Yusry mengatakan saya bakal ke final. Terus memuncak dua kali ganda tekanan yang dirasai,” luahnya kepada HibGlam baru-baru ini.

Harapan dan tekanan bagaimanapun bukan alasan yang membelenggu dirinya sehingga hilang fokus terhadap persembahan akan datang.

“Saya anggap jumlah undian tertinggi sebagai rezeki. Terharu kerana masih ramai yang ingat dan meminati saya walaupun selepas hampir enam tahun ‘senyap’ daripada industri.

“Selain itu, Vokal Mania juga bakal menjadi platform kelahiran semula jenama Danial Chuer dalam industri, insya-Allah.

“Apa yang penting, saya tidak akan ulangi kesilapan pada persembahan pertama dan mahu lebih relaks ketika menyanyi sekiranya berpeluang melangkah ke peringkat separuh akhir nanti,” kongsi anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

DANIAL mendedahkan Aisyah Retno merupakan antara peserta yang memberikan persaingan hebat dalam Vokal Mania. – SHIDDIQIEN ZON

Kritikan

Tatkala diminta mengulas tentang maksud kesilapan yang diperkatakan, Danial mengakui terlebih melakukan improvisasi nyanyian ketika mendendangkan lagu Ku Bersuara dendangan asal Ernie Zakri dua minggu lalu.

“Saya sedar silap sendiri kerana terdapat bahagian yang terlebih improvisasi dalam persembahan solo tersebut.

“Terima kasih kepada netizen yang tegur kesilapan itu dan terima kasih juga pada mereka yang mengkritik.

“Saya terima semua kritikan dengan hati terbuka dan akan memperbaiki teknik nyanyian selepas ini,” kata pelajar jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu.

Bercerita tentang kritikan, Danial berpendapat perkara tersebut sangat penting kerana dapat membantu dirinya mengenal pasti kelemahan dalam persembahan.

“Tidak dinafikan seseorang boleh hilang keyakinan kerana kritikan netizen dalam media sosial tetapi secara realitinya, perkara tersebut bagus untuk seorang penyanyi.

“Jika tiada orang yang mengkritik atau mengecam, bermakna persembahan kita tidak ditonton, jadi jangan ambil mudah semua komen daripada orang lain,” ujarnya.

Berkongsi perasaan tentang isu rakan seperjuangan, Nuha Bahrin yang dikecam teruk dalam media sosial baru-baru ini, Danial berpendapat situasi tersebut turut memberi kesan terhadap mentalnya.

“Memang diakui, kejadian tersebut memberi impak terhadap mental Rookie yang belum buat persembahan kerana ada yang sudah mula khuatir akan dihentam netizen.

DANIAL mula menceburkan diri dalam bidang muzik sejak berusia empat tahun sementelah dilahirkan dalam keluarga yang meminati muzik.

Masa depan

“Jika ada yang buat kesilapan, mungkin kerana terlalu gemuruh sebab rata-rata tidak pernah buat persembahan di atas pentas besar dan Vokal Mania pengalaman pertama mereka,” katanya.

Danial juga mahu kemenangannya pada minggu lalu dapat dijadikan sebagai pencetus semangat kepada 23 orang Rookie lain.

“Sebelum ini ramai yang lontarkan kritikan negatif terhadap kami sehingga ada yang berdepan tekanan dan takut hendak buat persembahan kerana risau dihentam netizen.

“Jadi, harap kemenangan saya akan bawa satu semangat baharu kepada Rookie untuk bersemangat buat persembahan dan menentang barisan Idol,” ujarnya.

Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu turut berkongsi impiannya bergelar seorang pencipta lagu suatu hari nanti.

“Saya juga ingin jadi seorang komposer sebab itu saya menyambung pelajaran dalam jurusan muzik.

“Jadi, saya akan gunakan ilmu tersebut untuk teruskan karier muzik pada masa akan datang.

“Saya sering bayangkan, akan tiba satu tahap saya tidak akan lagi bergelar penyanyi.

“Pada waktu tersebutlah, kelebihan yang dimilki akan digunakan sepenuhnya. Ilmu dan bakat yang ada sangat berguna satu hari nanti untuk teruskan kesinambungan hidup,” ujarnya.

Bercakap tentang rujukan karier, Danial menjadikan penyanyi Naim Danial dan Hael Husaini sebagai idolanya.

“Saya sangat kagum dengan bakat besar yang dimiliki oleh mereka. Situasi saya dan Naim lebih kurang sama sebab memulakan karier sejak kecil.

“Paling saya kagum ialah dia mampu hasilkan lagu sendiri sehingga karya tersebut diangkat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 tahun lalu, memang hebat,” katanya seraya menutup perbualan.

BEKAS juara Idola Kecil Ultra itu sangat mengagumi bakat penghasilan lagu penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

POPULAR

BERITA BERKAITAN