fbpx

Kluster Teratai: 13,000 pekerja akan disaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan kilang bagi perancangan membuat saringan ke atas kira-kira 13,000 pekerja di 28 bangunan kilang berbeza susulan situasi Kluster Teratai di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut menunjukkan peningkatan kes mendadak sejak akhir-akhir ini dan sehingga hari ini terdapat 2,524 kes positif dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes yang telah disaring.

Menurutnya, sebanyak 1,330 sampel adalah negatif manakala 1,913 masih menunggu keputusan dan kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 warga Malaysia dan 2,360 warga asing berusia antara dua hingga 68 tahun.

“Kebanyakan kes daripada kluster ini merupakan pekerja kilang di kawasan Meru, Klang dan semua kes positif telah dimasukkan ke hospital
manakala kontak rapat mereka dikuarantin untuk mengelakkan jangkitan kepada pekerja lain.

“Pihak pengurusan kilang telah mengambil langkah inisiatif untuk mengasingkan pekerja yang dikenal pasti sebagai kontak rapat di tempat-tempat kuarantin yang tertentu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, tiada kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan tiada kes kematian dilaporkan dalam kluster tersebut.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sejak 17 November lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di sekitar kawasan asrama pekerja dan rumah pekerja manakala, jumlah penduduk yang terlibat dalam PKPD seramai kira-kira 5,900 orang.

Sementara itu, beliau berkata, perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diadakan dengan pelbagai agensi kerajaan pada hari ini dan ia berkisar cadangan penutupan kilang-kilang berkaitan secara berperingkat.

“Justeru, Kementerian Kesihatan menyambut baik perkara ini yang telah pun diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini membolehkan saringan dijalankan secara menyeluruh dan untuk itu, pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan akan digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan yang akan dipergiatkan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI