fbpx
PAI yang dihasilkan Joy-Murray mengetengahkan kerja seni yang menakjubkan melalui penggunaan warna yang menyerlah.

Karya kisah dongeng atas pai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN membaca kisah dongeng di atas sebiji pai yang dihias indah. Begitulah kehalusan seni makanan hasil sentuhan Liz Joy-Murray yang pasti memukau sesiapa sahaja yang memandang.

Dia yang merupakan bekas pengarah seni Hollywood mula bertukar haluan sebagai pengkarya makanan pencuci mulut selepas membuat keputusan untuk berehat daripada kerjayanya di Hollywood lantaran masalah kesihatan.

Pada awalnya, dia mengisi masa terluang dengan membuat kek tetapi Joy-Murray berasa tidak puas sekadar membakar kek, lantas cuba mempelbagaikan masakan manisan seperti pai.

Dia kemudian menjadikan makanan yang dihasilkannya itu sebagai kanvas seni dengan menampilkan rekaan yang menarik dan indah bagi menceriakan insan tersayang.

Wanita itu tidak menduga percubaannya menyuntik elemen seni pada aneka hidangan pencuci mulut itu membuka satu lembaran baharu dalam kerjaya seninya sehingga tular.

“Saya selalu berminat untuk mempelajari teknik dan penggunaan material baharu dengan melakukan pelbagai eksperimentasi.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan dan percubaan yang dilakukan beberapa kali,” katanya.

 

JOY-MURRAY kini menumpukan kepada seni pembuatan makanan selepas bersara dari dunia seni pengarahan Hollywood.

Joy-Murray menampilkan kehalusan seni dalam pembuatan makanannya sehingga sekali pandang ia kelihatan seperti lukisan di atas kanvas dan bukannya sebiji pai atau kek.

Ramai yang mengatakan sangat sayang untuk menikmati sajian buatan Joy-Murray itu kerana sungguh indah. Sukar juga untuk dipercayai yang dirinya tidak mempunyai asas dalam masakan dan hanya mempunyai pengalaman memasak selama tiga tahun.

Saksikanlah keindahan karya seni masakannya yang seolah-olah di kayangan dengan tema watak-watak dongeng seperti The Little Mermaid, Peter Pan, kuda unicorn dan lain-lain.

Terangnya, dia mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkan konsep rekaan painya. Bagi menghasilkan karya tersebut, Joy-Murray akan bermula dengan melakar terlebih dahulu rekaan yang inginkan di atas kertas supaya dia dapat merancang dan menyiapkan bahan yang diperlukan untuk merealisasikannya.

PAI bertemakan The Little Mermaid ini tampak cukup indah.

 

Setiap elemen yang diletakkan atau dihias menggunakan tangan di atas painya itu adalah ramuan makanan yang dibakar atau dimasak secara berasingan.

Penghasilan pai yang rumit itu memerlukan ketekunan dan kesabaran. Ini kerana Joy-Murray perlu menyusun dan mencantumkan kepingan-kepingan kecil bagi menyempurnakan rekaan menakjubkan yang berwarna-warni itu.

Dia ternyata telah menggunakan pengalamannya sebagai bekas pengarah seni untuk menghasilkan pai luar biasa itu.

Karya makanan yang dihasilkan oleh Joy-Murray itu bukan sahaja cantik dipandang tetapi sangat enak dimakan.

 

KARYA bertemakan Peter Pan ini begitu kreatif apabila turut mempunyai bukaan tingkap di atas pai.

 

“Saya ingin menghasilkan karya makanan yang bukan sahaja indah dipandang tetapi juga sangat lazat agar dapat mencipta memori indah dan membangkitkan keriangan.

“Oleh itu, saya akan menghasilkan rekaan yang hebat dan pada masa sama orang ramai ingin menikmatinya,” ujar Joy-Murray.

Walaupun baru bergiat aktif dalam seni penciptaan makanan selama tiga tahun, Joy-Murray membuktikan dirinya sebagai salah seorang artis manisan paling berbakat dan kreatif di dunia.

Menerusi syarikatnya iaitu Inspired to Taste, Joy-Murray telah bekerjasama dengan entiti besar dunia seperti Amazon Studios, Christian Louboutin dan Forbes untuk menghasilkan seni masakan yang hebat.

BERITA BERKAITAN