fbpx
SEEKOR gorila memakan daun di dalam kurungannya di Zoo London di Britain baru-baru ini. – PA

Penghuni zoo murung rindukan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Haiwan di Zoo London terasa ‘sunyi’ kerana tidak berpeluang berinteraksi de­ngan manusia selepas perintah berkurung kali kedua akibat pandemik Covid-19 berkuat kuasa semula di England, kata kumpulan penjaga haiwan di zoo tersebut.

Zoo itu menutup pintu kepada orang ramai dengan be­ratus-ratus haiwan hilang kunjungan pelawat.

Ada beberapa haiwan se­perti singa dan harimau Sumatera masih kekal dengan tingkah laku biasa, lapor portal berita Metro UK.

Bagaimanapun, penjaga haiwan mendakwa, sikap haiwan lain seperti gibon bernama Jimmy ternyata amat berbeza.

Penjaga zoo bernama Daniel Simmonds berkata, Jimmy sudah biasa berinteraksi dengan manusia pada setiap hari.

“Sekarang tiada sesiapa mencari Jimmy lagi dan ke­adaan kini berbeza. Jimmy suka melihat orang yang berbeza, kasut dan pakaian berbeza. Agak menyedihkan melihat ia merindui apa yang disukai.

“Haiwan seperti ini biasa menerima lebih satu juta pe­ngunjung pada setiap tahun,” katanya.

Selain Jimmy, penguin jenis Humboldt, gorila dan kambing pigmi juga mempamerkan perubahan sikap. Kakitangan zoo tetap berada di zoo semasa perintah berkurung untuk cuba mengekalkan rutin harian se­perti biasa.

Perintah berkurung kedua turut menjejaskan sumber pendapatan Zoo London.

Persatuan Zoologi London (ZSL) yang menguruskan Zoo London dan Zoo Whipsnade di Bedfordshire kini mengalami kekangan kewangan untuk membeli makanan serta memberikan penjagaan kepada le­bih 20,000 haiwan tanpa sumber perolehan tetap.

Ketua Pengarah ZSL, Dominic Jermey memberitahu akhbar The Telegraph bahawa tindakan menutup zoo menyebabkan sumber pendapatan utama terputus.

“Sebulan kos yang ditanggung ialah hampir £1 juta (RM5.4 juta) untuk menjaga dan memberi makan kepada 20,000 haiwan di kedua-dua zoo. Kami tidak boleh memberhentikan kumpulan penjaga dan verterinar ketika ini.

“Kami mohon orang ramai untuk membantu kami melalui sumbangan, membeli tiket ha­diah untuk lawatan masa depan atau menyertai keahlian. Ada banyak cara untuk membantu,” jelasnya. – Agensi