fbpx

Kepala katak disangka ular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATAK yang disangka ular dalam lubang pada pangkal pokok mangga.

MELAKA – Takut melihat seperti kepala ular dalam lubang pada pangkal pokok mangga menyebabkan seorang pekerja penyelenggaraan menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan.

Namun agak melucukan apabila ia bukanlah kepala ular seperti disangka, sebaliknya hanya katak yang saiznya hanya sebesar telur ayam gred C.

Komander (Operasi) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.53 petang mendakwa terdapat ular di Taman Bukit Baru di belakang sebuah pusat beli belah Ayer Keroh.

“Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama sebuah Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan menjumpai seekor katak bersaiz sebiji telur ayam gred C berada dalam lubang pangkal pokok mangga berkenaan dan telah memaklumkannya kepada pengadu bahawa ianya bukanlah ular seperti disangka,” katanya.

Tambahnya, pengadu memohon maaf disebabkan kesilapan itu namun, pihaknya menganggap ia insiden yang mencuit hati.

“Mungkin tindakan pengadu adalah kerana dia amat berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan yang boleh membahayakan nyawanya,” katanya menambah operasi tamat jam 5.35 petang.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI