fbpx
SITI SAKINAH bergaul mesra dengan anak-anak Syria.

K2

Perjuangan Siti Sakinah untuk Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HATI Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki, 52, sebak tatkala melihat gambar-gambar dan video peperangan di Syria yang terpapar di skrin telefonnya.

Keadaan tersebut membuatkan beliau tidak keruan mengenangkan kesengsaraan rakyat Syria yang ditimpa musibah peperangan.

Tidak sanggup membiarkan saudara sesama Islam merana tanpa bantuan, Siti Sakinah mengorak langkah mencari dana yang diusahakannya sendiri menerusi laman Facebook peribadi.

“Ketika Syria mula bergolak pada tahun 2011, saya baru saja berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada pengurusan rumah tangga dan menjaga ibu mertua yang menghidap strok.

“Syukur Allah mengilhamkan kepada saya untuk membuat kutipan derma menerusi Facebook tersebut,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada masa itu, bekas pendidik itu aktif memuat naik berita semasa berkenaan kejadian yang berlaku di Syria. Malah, dirinya mengadakan kutipan dalam kalangan rakan Facebook sebanyak dua kali dengan dibantu poster diusahakan bekas pelajarnya sehingga berjaya mengumpul antara RM10,000 sehingga RM20,000.

Selepas itu, beliau mengenal pasti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan duit sumbangan tersebut.

Usaha secara perseorangan yang dilakukan Siti Sakinah mendapat perhatian pihak Syria Care Malaysia (Syria Care) apabila dirinya ditawarkan bekerja dengan NGO tersebut sebagai pengurus pejabat pada tahun 2014.

 

SITI SAKINAH menyifatkan keluarga termasuk suami dan anak-anak menjadi tulang belakang untuk dirinya meneruskan kerja-kerja kemanusiaan.

 

Menjadi rutin, setiap kali usai solat, dirinya selalu berdoa kepada Allah SWT agar dapat menyumbang sesuatu kepada ummah.

Siapa sangka takdir memilih beliau untuk berbakti kepada rakyat Syria dan kini bergelar Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care Malaysia.

Syria Care ditubuhkan pada tahun 2012 hasil inisiatif warga Syria iaitu Sheikh Samir Sakka bersama sekumpulan bekas pelajar Malaysia yang belajar di negara tersebut.

Pertubuhan itu bermatlamat untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam berkaitan krisis kemanusiaan yang berlaku di Syria.

Jasa dan kerja keras dalam misi kemanusiaan itu melayakkan Siti Sakinah menjadi salah seorang penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul sempena pengimarahan Maulidur Rasul 1442H/2020 baru-baru ini.

“Pada awalnya saya tidak percaya apabila dimaklumkan tercalon untuk menerima anugerah tersebut kerana merasakan ada ramai lagi yang lebih layak.

“Saya berasa syukur dan gembira kerana usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan selama ini dihargai oleh pihak kerajaan Malaysia,” ujarnya yang berpengalaman menjadi pendidik di beberapa pusat pengajian selama lima tahun.

Siti Sakinah bertuah kerana dikurniakan keluarga yang memberi semangat dan sokongan padu kepadanya.

Sifat kepimpinan dan keberanian diwarisi daripada bapanya Lt. Kol (B) Meor Omar Baki Abd. Latiph, 82.

Ibunya pula, Siti Hasnah Mohd. Arshad sering membantu orang-orang susah dan itu mendidiknya secara tidak langsung agar sentiasa prihatin dan bersungguh-sungguh melaksanakan kerja dakwahnya.

Oleh itu, tidak hairanlah Siti Sakinah mempunyai jiwa besar dan tidak gentar menjalankan misi kemanusiaan walaupun berdepan situasi yang sukar untuk diramal serta berisiko tinggi.

“Saya tidak dapat melupakan peristiwa pada tahun lalu ketika menyeberangi Lebuh Raya M4 yang menjadi perebutan antara pihak kerajaan dan pejuang Syria iaitu antara lokasi berisiko.

“Internet pula tiba-tiba terputus dan menyukarkan pihak kami untuk berhubung dengan sesiapa sekiranya berlaku insiden tidak diingini,” ujarnya sambil memberitahu kehadiran mereka ke Syria telah melalui prosedur keselamatan yang ketat termasuk mendapat kerjasama daripada NGO dari Turki bagi memastikan sukarelawan selamat.

Kongsinya, melaksanakan misi kemanusiaan bukanlah tugas mudah. Ia memerlukan persiapan fizikal dan mental. Siti Sakinah dan pasukannya perlu melalui keadaan jalan yang berbatu, gelap, licin, berbukit serta berdepan risiko serangan.

 

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) menyampaikan Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul sempena Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan kepada Siti Sakinah (kanan) baru-baru ini.

 

Bercerita lanjut mengenai kecintaannya kepada Syria, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, ia bermula ketika menuntut di Mekah pada tahun 1988.

Pada ketika itu, beliau tertarik menonton drama-drama dari Syria kerana bahasanya lembut dan sedap didengar, manakala orang-orangnya juga sangat rupawan.

Anak kelahiran Jitra Kedah itu juga terpegun dengan keindahan bentuk muka bumi Syria yang subur dan cantik serta mempunyai empat musim.

“Oleh itu, apabila negara itu dilanda peperangan yang memusnahkan segala keindahan serta meragut nyawa, ia cukup memberi kesan dalam hati saya. Saya rasa tidak boleh pejam mata tanpa menghulurkan sebarang bantuan kerana pernah melihat mereka menjalani kehidupan dalam suasana harmoni,” tuturnya.

Justeru, bisik hatinya, kalau sekadar sedih sahaja, beliau tidak dapat membantu mereka, maka perlu lakukan sesuatu untuk membantu mangsa peperangan itu.

Beliau yang belajar dialek orang Syria menerusi drama tidak menyangka 17 tahun kemudian pengetahuan itu begitu bermakna kerana dapat berkomunikasi dengan baik bersama orang-orang di negara itu lantas menjadikan hubungan mereka rapat.

Berkongsi pengalaman misi kemanusian, Siti Sakinah memberitahu, peristiwa ketika misi kecemasan musim sejuk di kem pelarian Syria di Arsal, Lebanon pada tahun lalu antara kejadian yang sukar dilupakan.

Sebaik tiba di kem Ra’sus Sin yang terletak 1,900 meter atas paras laut beliau terlihat seorang bapa mendukung anaknya di hadapan khemah mereka.

“Saya rasa terdorong untuk menghampiri mereka dan terlihat seorang kanak-kanak bernama Hussein bukan sahaja memakai pakaian yang nipis, malah tanpa kasut dan stoking.

“Saya terkejut dan sedih melihat keadaan tersebut kerana membayangkan kami yang hendak meredah cuaca bersalji itu pun perlu memakai baju tiga hingga empat lapis dengan jaket khas untuk suhu di bawah 20 darjah Celsius.

“Orang-orang dewasa juga memakai baju sangat nipis kerana itu sahaja yang mereka ada dan tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengharapkan bantuan kita semua,” jelas nenek dua orang cucu itu.

Di kem pelarian yang terletak di bahagian selatan Lebanon itu juga mengalami krisis air bersih dan mereka terpaksa mencairkan salji itu untuk dijadikan air minuman.

Ekoran tiada air bersih itu, ramai kanak-kanak mengalami masalah buah pinggang.

Terang Siti Sakinah, pelarian-pelarian Syria di luar mahupun dalam negara menghadapi cabaran cuaca, tempat tinggal dan tidak mempunyai pekerjaan.

Keadaan itu memaksa mereka membawa keluarga keluar dari negara itu dan berhijrah ke tempat yang lebih baik demi kelangsungan hidup walaupun terpaksa menempuh bahaya.

“Dua perkara penting yang saya belajar daripada mereka ialah kepercayaan yang kuat kepada qada’ dan qadar Allah. Kedua, mereka percaya bahawa esok akan lebih baik berbanding hari ini,” katanya.

 

SITI SAKINAH pilu apabila kanak-kanak Syria ini hanya berkaki ayam di saat cuaca begitu sejuk di bawah suhu 20 darjah Celsius.

 

Sepanjang enam tahun bertugas di Syria Care, beliau berpeluang bertemu dengan ramai ulama terkenal seperti Sheikh Ali As-Sobouni, Sheikh Usamah Rifa’ie, Sheikh Muwaffaq Al-Marabi’ dan Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi.

“Setiap kali berjumpa dengan ulama-ulama tersebut sudah pasti saya rasa sangat gemuruh, namun teruja dalam masa sama.

“Sebagai ketua delegasi, saya sering diminta untuk berucap mewakili organisasi di hadapan mereka,” ujarnya yang melahirkan rasa terharu atas penghormatan yang diberikan.

Besar harapan Siti Sakinah untuk melihat bumi Syria kembali aman dan peperangan ditamatkan segera. Kongsinya, kini Syria Care sedang giat melaksanakan Projek Wakaf Perumahan Pelarian Syria-Kampung Malaysia Syria Care di Al Bardaqli, Syria.

Projek itu membina rumah 292 unit yang dilengkapi masjid, pusat perubatan dan fisioterapi, sekolah rendah, padang permainan dan sistem air bersih untuk menampung keperluan 1,460 orang pelarian Syria.

Pihak Syria Care juga merancang untuk membina Kampung Malaysia 2.0 di Syria yang lebih besar pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN