fbpx

Pekerja asing bukan saringan kontak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular pekerja asing memakai gelang merah jambu di tapak pembinaan adalah saringan surveillance dan bukan saringan kontak.

PUTRAJAYA – Dua gambar tular membabitkan pekerja warga asing memakai gelang merah jambu tetapi masih berada di tapak pembinaan adalah membabitkan saringan surveillance dan bukan saringan kontak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan, mereka diberikan gelang merah jambu itu bagi mengelakkan keluar dari tapak pembinaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja warga asing itu masih boleh bergerak di dalam tapak pembinaan itu.

“Sebenarnya seramai 264 daripada 273 yang telah disaring, adalah melalui saringan surveilance tapak bina.

“Mereka berada di dalam kawasan tapak bina (rumah kongsi basement 1 & 2 dan rumah kongsi tepi sungai),” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan itu selain dinasihatkan untuk melakukan kerja-kerja disinfeksi.

Malah, katanya, dua pengawal keselamatan turut ditempatkan di pintu masuk tapak bina dan pihak polis Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemaju telah menghentikan operasi buat sementara waktu bermula 13 hingga 15 November untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperolehi pada 15 November.

“Release order (pelepasan) dan pemotongan gelang pink telah dilakukan pada 15 November pukul 11 pagi di tapak bina berkenaan.

“Hasil saringan terdapat satu sahaja kes positif tetapi kes ini tidak tinggal di tapak bina, tetapi menetap di luar tapak bina,” katanya.

Ujarnya, lapan orang kontak rapat kes tersebut telah dikuarantin 14 hari bermula 7 hingga 20 November manakala kesemua pekerja yang negatif diberikan pelepasan pada 15 November.

“Kecuali lapan kontak rapat kepada kes positif tadi yang masih menjalani tempoh kuarantin,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk Facebook berhubung gambar pekerja warga asing memakai gelang warna merah jambu di kawasan tapak pembinaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI