fbpx
Zuraida bercakap kepada pemberita ketika hadir pada lawatan ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

Kewujudan FIKS realisasikan matlamat kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kewujudan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) yang pertama di Malaysia dapat membantu kerajaan mencapai matlamat untuk meningkatkan sasaran kadar kitar semula melebihi 40 peratus menjelang 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, sehingga kini hampir 32 peratus sasaran telah dicapai dan menjangkakan sasaran ditetapkan akan dicapai 2021.

“40 peratus mungkin mudah dicapai bagi saya, Insya-Allah dalam masa terdekat pada 2021. Kewujudan FIKS ini bukan sahaja memudahkan masyarakat setempat tetapi juga lokasi untuk dikunjungi.

“Kita perlukan pusat kitar semula yang sistematik dan FIKS merangkumi kesemua yang diperlukan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula di Presint 5, Putrajaya hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abu Hassan dan Ketua Pengarah, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Suliman Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zain Hassan.

Sementara itu, Zain berkata, FIKS berkemampuan untuk mengendalikan sisa dengan kapasiti yang lebih besar iaitu antara 300 tan sehingga 500 tan sebulan dan akan ditambah lagi jumlahnya.

Katanya, sejak FIKS dibuka secara rasminya pada bulan Julai yang lepas dengan menelan kos perbelanjaan RM120 juta, fasiliti itu telah menerima lebih 500 pengunjung yang datangnya daripada syarikat-syarikat korporat, agensi kerajaan dan juga orang awam.

“Ini menunjukkan FIKS mampu menarik perhatian pelbagai pihak untuk mempelajari, meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan kitar semula di dalam kehidupan harian mereka.

“Dengan pelbagai fasiliti serta kemudahan yang ada, FIKS akan dapat memainkan peranan utama dalam menggalakkan masyarakat Malaysia, terutamanya warga Putrajaya, mengamalkan kitar semula dan pengasingan sisa di punca selari dengan sasaran Dasar Kebersihan Negara,” jelasnya. – K! ONLINE

POPULAR