fbpx

Sebanyak 542,523 ujian saringan Covid-19 sudah dilaksanakan di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hajiji ketika persidangan DUN Sabah hari ini.

KOTA KINABALU – Sebanyak 542,523 ujian saringan Ccovid-19 sudah dibuat di Sabah sejak 1 Februari lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata menerusi jumlah itu, sebanyak 23,095 kes positif dikesan di seluruh negeri sehingga semalam.

“Kadar kebolehjangkitan di negeri ini pula ialah 1.03 berbanding kurang 1.0 bagi seluruh negara setakat semalam. Hal ini bermaksud seorang kes positif boleh menjangkiti seorang lagi individu lain atau kontak rapat.

“Selain itu, setakat semalam juga sebanyak 3,755 sampel masih dalam proses ujian di makmal.

“Semua sampel ini diproses di tiga makmal iaitu Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan kapasiti 2,700 sampel sehari dan ‘outsourcing’ ke makmal swasta di Sabah.

“Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) juga sentiasa mengambil langkah perlu untuk mengurangkan bilangan sampel yang masih ada di dalam makmal,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (Warisan-Elopura) mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri memaklumkan kerajaan belum berhasrat untuk membina sebuah hospital tambahan bagi menampung pesakit Covid-19 kerana melihat hospital sedia ada masih boleh menampung keperluan ketika ini.

“Kita ada 11 hospital kerajaan menjadi hospital rawatan Covid-19 ketika ini untuk merawat kes Covid-19 tahap tiga sehingga lima.

“Hospital berkenaan ialah HQE, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau, Hospital Kota Marudu, Hospital Kudat, Hospital Semporna, Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Tambunan.

“Selain itu, kita juga mempunyai sebanyak 35 pusat kuarantin dan rawatan Covid (PKRC) untuk menangani kes Covid-19 tahap satu dan dua,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Pejabat Kesihatan Kawasan atau Daerah, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan PKOB Negeri Sabah juga sudah mengenal pasti dewan atau tempat yang sesuai untuk dijadikan sebagai PKRC.

Hajiji berkata kewujudan Hospital Medan di Tawau yang dibina dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu memenuhi keperluan rawatan pesakit di Sabah.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI