fbpx

Penambahbaikan i-Sinar ringankan beban rakyat – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Kerajaan berharap penambahbaikan Program i-Sinar yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini bukan sahaja dapat meringankan beban aliran tunai sebaliknya memenuhi keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran semasa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penambahahbaikan ini dibuat berpandukan data dan analisis profil tanggungan ahli KWSP yang terkesan serta pertimbangan trend jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan sedar bahawa KWSP adalah simpanan hari tua namun, terdapat keperluan bagi mengimbangi antara bantuan untuk menghadapi cabaran masa kini.

“Kerajaan yakin bahawa pendekatan yang diambil dapat mengimbangi keperluan-keperluan ini.

“KWSP juga memberi jaminan bahawa usaha akan diteruskan untuk memenuhi mandat kepada ahlinya iaitu mengukuhkan jaringan perlindungan sosial melalui pelaburan dan pembangunan secara lebih strategik,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa program i-Sinar akan berjalan serentak dengan beberapa lagi inisiatif dan bantuan menerusi KWSP termasuk i-Lestari dan pengurangan caruman bulanan oleh pekerja yang diumumkan pada Belanjawan 2020.

Beliau berkata, program i-Sinar dianggarkan bernilai RM14 bilion, i-Lestari (RM30 bilion), pengurangan caruman pekerja bagi 2020 (RM8 bilion) dan pengurangan caruman pekerja bagi 2021 (RM9 bilion).

Menurutnya, secara keseluruhan, nilai inisiatif KWSP bagi membantu kelangsungan hidup rakyat bagi tahun 2020 dan 2021 adalah berjumlah RM61 bilion.

“KWSP memainkan peranan penting dalam pembangunan negara secara langsung dan tidak langsung. Antara lain, KWSP memegang 30 peratus bon kerajaan, 25 peratus bon korporat dan 10 peratus dalam pasaran ekuiti.

“Kebolehan KWSP dalam melindungi rakyat dan pembangunan negara adala hasil kecekapan pengurusan dan ketelusan kawalan selia yang berterusan sejak dahulu lagi,” katanya.

KWSP dalam kenyataan hari ini mengumumkan penambahbaikan program i-Sinar yang membolehkan ahli-ahlinya mengeluarkan wang dari Akaun 1 antara RM9,000 sehingga RM60,000 berdasarkan dua kategori jumlah caruman.

Tawaran itu dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira dua juta ahli KWSP yang layak termasuk yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI