fbpx

K2

Aplikasi pintar pantau lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZaHARI menunjukkan pemantauan lebuh raya melalui aplikasi S3. – Foto FAUZI BAHARUDIN.

SEBAIK kaki melangkah masuk ke bahagian pusat kawalan trafik di pejabat Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (Lebuhraya Kajang SILK), mata penulis tertumpu pada paparan skrin yang ditempatkan di situ.

Di skrin tersebut, kelihatan video secara langsung bagaimana kewujudan objek-objek asing serta kerosakan jalan yang berlaku di atas lebuh raya itu dapat dikesan menggunakan teknologi pintar yang dibangunkan oleh Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS).

Seterusnya tindakan susulan serta-merta diambil bagi memastikan lebuh raya itu selamat untuk digunakan sepanjang masa oleh pengguna.

Seiring dengan transformasi pendigitalan, kini PROLINTAS telah bergerak ke hadapan dengan melancarkan Sistem Pemantauan Lebuh Raya berteraskan teknologi pintar yang dinamakan sebagai PROLINTAS Smart Surveillance System (S3).

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat PROLINTAS, Azahari Karim menjelaskan, sistem tersebut telah digunakan di kesemua lebuh raya seliaannya seperti Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Kajang SILK .

“Melalui S3 ini, ia telah meletakkan PROLINTAS sebagai syarikat konsesi pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi pintar dalam pengurusan operasi lebuh raya.

“Pelaksanaan S3 ini sejajar dengan usaha berterusan pihak syarikat dalam meningkatkan kadar keselamatan dan tahap kepuasan pengguna lebuh raya,” jelasnya kepada K2.

Tambahnya, inisiatif itu juga telah mengetengahkan cara kerja lebih efisien dan moden dalam penggunaan teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

KAMERA papan pemuka (dashboard) diletakkan pada bahagian hadapan kenderaan peronda.

Teras utama S3 adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembelajaran mesin dikenali sebagai AISYA (sistem analisis kecerdasan buatan) yang berperanan memproses imej dan pengecaman, pengkelasan, analisis data dan laporan digital, seterusnya memberikan notifikasi kepada petugas secara langsung melalui aplikasi mudah alih serta web.

Sistem tersebut berfungsi dengan kamera papan pemuka (dashboard) diletakkan pada bahagian hadapan kereta peronda milik PROLINTAS yang melakukan rondaan di jajaran lebuh raya di bawah kawal selia syarikat itu.

Kamera tersebut mempunyai sudut bukaan lebar seluas 120 darjah sekali gus membolehkan proses pengesanan, pengkelasan dan pengecaman di kawasan yang lebih luas di lebuh raya dapat dilakukan.

Pengesanan akan dilakukan menerusi kamera tersebut sebelum disalurkan secara terus menerusi rangkaian capaian internet ke pelayan cloud bagi proses pengecaman dan klasifikasi objek yang dikesan.

Ia kemudiannya secara terus dapat diakses oleh petugas di pusat kawalan trafik untuk tindakan susulan.

Selain itu, data tersebut turut boleh diakses secara terus oleh pasukan pengurusan untuk tujuan pemantauan sama ada tindakan susulan sudah diambil atau belum.

Azahari menjelaskan, S3 boleh mengesan sebanyak sembilan klasifikasi pengecaman antaranya seperti kemalangan, kewujudan objek asing, kehadiran binatang, lopak air, jalan berlubang, keretakan jalan, tumpahan cecair dan kerosakan aset.

Tegasnya, kesemua pengecaman itu akan dapat dikesan dengan lebih pantas menggunakan sistem tersebut.

“Pasukan peronda akan melakukan rondaan selama 24 jam sehari di lebuh raya. Di sepanjang rondaan itu pengecaman akan dilakukan melalui sistem yang kita bangunkan.

“Apabila sebarang permasalahan dapat dikesan, tindakan segera akan terus diambil bagi menjamin keselamatan pengguna lebuh raya,” tegasnya.

Sebagai contoh sewaktu rondaan dilakukan, sistem tersebut dapat mengesan kewujudan lopak air yang mungkin boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jika tindakan awal tidak diambil.

Petugas di pusat kawalan dapat mengetahui dengan lebih tepat lokasi kerosakan jalan dan tindakan susulan segera akan digerakkan untuk mengatasi masalah tersebut.

Begitu juga dengan kewujudan lubang di jalan yang kadang kala sukar untuk dikesan dengan mata kasar terutamanya yang bersaiz kecil, namun dengan S3 semua itu kini boleh diatasi.

“Melalui sistem ini, lubang sekecil 10 sentimeter (sm) juga boleh dikesan,” ujarnya.

Tambahnya, melalui sistem tersebut juga selain menjimatkan masa, proses pemantauan juga menjadi lebih selamat.

Sebelum ini, pemantauan untuk sebarang kerosakan seperti lubang atau keretakan jalan raya dilakukan secara manual.

Pasukan yang terlibat akan melakukan rondaan atau turun ke lokasi yang dilaporkan mengalami kerosakan dan mereka perlu melakukan pemeriksaan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Tenaga tempatan

Ini sedikit sebanyak akan membahayakan nyawa mereka jika pemeriksaan dilakukan di laluan-laluan yang sibuk dengan kenderaan.

Selain itu, kelemahan lain jika pemeriksaan dilakukan secara manual adalah berkemungkinan akan berlaku situasi terlepas pandang.

PETUGAS peronda boleh mangesan permasalahan jalan dari dalam kereta tanpa perlu turun.

Dalam pada itu, Azahari menjelaskan sistem itu telah dibangunkan oleh pihaknya sejak Mac lalu.

“Enam bulan tempoh diambil bagi membangunkan sistem ini dan secara rasmi S3 mula dilancarkan pada Ogos lalu dan digunakan sejak itu. Melalui teknologi ini juga kami telah berjaya mengesan lebih 1,303 kes pada bulan pertama dan 440 kes pada bulan berikutnya.

“Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus kes kerosakan permukaan dan aset lebuh raya telah dibaik pulih menerusi sistem notifikasi,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang membanggakan lagi, sistem tersebut telah dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan.

Ini membuktikan tenaga tempatan juga mempunyai kemahiran dan pengetahuan membangunkan sistem sedemikian sekiranya diberi ruang dan peluang.

Dalam masa sama, PROLINTAS turut melancarkan sistem aplikasi pengurusan operasi lebuh raya iaitu iaitu PROLINTAS Integrated Maintenance Escalations (PRIME). Aplikasi itu dibangun menggunakan platform Microsoft Kaizala & Flow.

“Ia menjadi kesinambungan kepada inisiatif transformasi pendigitalan PROLINTAS yang bukan sahaja memodenkan kerja-kerja pelaporan insiden dan aktiviti penyelenggaraan, malah meningkatkan kecekapan proses baik pulih dan pemantauan kemajuan kerja.

Tambahnya, dengan teknologi ini, ia membantu operasi lebuh raya lebih berdaya saing dan sistematik sekali gus memberi fokus optima dalam menjamin keselamatan dan kepuasan pengguna lebuh raya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI