fbpx

Polis buru suspek kes pecah rumah di Bachok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta jenis Perodua Myvi milik seorang ahli perniagaan ditemui di tepi jalan di Kampung Tunjong, Kota Bharu pada pukul 7 petang semalam.

BACHOK – Polis sedang memburu penjenayah yang terlibat dalam kejadian pecah rumah milik seorang ahli perniagaan di Kampung Aur, Tawang di sini semalam.

Kejadian itu disedari mangsa yang berusia 61 tahun kira-kira pukul 4 pagi sewaktu dia bangun daripada tidur sebelum melihat pintu pagar rumahnya terbuka.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Samsulmuddin berkata, berdasarkan keterangan, selepas melihat keadaan itu, mangsa terus melakukan pemeriksaan di dalam dan luar rumahnya.

“Mangsa mendapati kereta jenis Perodua Myvi miliknya telah dilarikan selepas pencuri terbabit mengambil kunci di dalam rumah.

“Dokumen pengenalan diri serta keluarga, beg tangan, jam, komputer riba, cincin perak dan kerongsang emas turut dikebas pencuri berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Samsulmuddin, bagaimanapun, kereta jenis Perodua Myvi itu berjaya ditemui semula dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia dibawa lari.

Katanya, kereta itu ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Tunjong, Kota Bharu pada pukul 7 malam iaitu kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa selepas beberapa jam dilarikan.

“Pada awalnya, keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM50,000 termasuk sebuah kereta itu.

“Polis telah melakukan gerakan mengesan penjenayah terbabit yang telah melarikan barangan lain milik mangsa,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat penjenayah terbabit diminta segera menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI