fbpx

Ubah stigma lapuk cara penyusuan bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

Sekitar tahun 2017, ada satu kejadian yang benar-benar melekat di fikiran penulis sehingga ke hari ini.

Baru berusia 26 tahun, penulis berada di dalam surau pejabat untuk mengepam susu buat anak yang baru berusia dua bulan.

Ketika itu hanya ada dua tiga orang sahaja yang sedang menanti waktu solat Zuhur. Tiba-tiba datang seorang individu datang dan menegur penulis.

“Kalau mahu pam susu, ja­ngan macam ini. Ambil kain telekung dan kelubung di dalamnya,” tegasnya.

Penulis tergamam kerana pertamanya, tiada aurat terdedah ketika penulis mengepam susu dan keduanya, tempat itu adalah surau wanita.

Jadi mengapa sampai begitu sekali rasa tidak selesa individu itu melihat seorang ibu me­ngepam susu di ruang terbuka meskipun berada di lokasi yang tiada orang bukan muhrim?

Peristiwa itu menimbulkan rasa ingin tahu penulis tentang stigma masyarakat yang me­ng­anggap mengepam susu atau menyusu anak di tempat awam adalah melanggar pantang larang atau taboo.

Pendakwah bebas, Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman berkata, tiada salahnya menyusu di tempat awam andai aurat dijaga rapi.

Malah dalam Islam juga dibolehkan memandangkan pada zaman serba moden ini, pelbagai jenis kain dan selubung dicipta khas untuk melindungi maruah dan aurat si ibu ketika melakukan penyusuan di ruang terbuka.

Tambah Aizuddin, andai per­kara itu tidak boleh dielak dan anak kecil sudah kelaparan, tiada salahnya menyusukan anak di tempat awam dengan cara yang betul.

“Agak keterlaluan untuk me­ngatakan tidak boleh menyusu di tempat awam.

“Cuma pada pandangan saya, hukumnya boleh tetapi lebih manis dielakkan jika ada ruang dan kesempatan walaupun perbuatan ini tidak salah,” katanya.

Tambahnya, menurut riwayat Al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda, iman itu lebih daripada 60 cabang dan malu itu salah satu dari cabang iman.

“Daripada Imran bin Husain, riwayat Al- Bukhari dan Muslim pula, Rasulullah SAW bersabda, malu itu tidak datang kecuali dengan kebaikan,” tuturnya lagi.

Jelas Aizuddin lagi, jika si ibu boleh menyusukan anak di ­ruang tertutup, ia lebih baik. Andai tiada pilihan, jangan tersangkut rasa berdosa kerana selagi cara penyusuan yang dibuat mematuhi syarak, ia tidak salah di sisi agama.

Islam itu mudah dan memudahkan jadi jangan jadikan sesuatu yang sepatutnya mendatangkan pahala kepada seorang ibu bertukar menjadi tekanan.

Hentikanlah pandangan dan lirikan serong andai anda terse­rempak dengan ibu yang me­nyusu anak di tempat terbuka atau awam.

Jika auratnya terlindung dan tiada apa-apa yang didedahkan dengan sengaja, teruskan perjalanan anda tanpa menjatuhkan apa-apa hukum senyap.

Menghormati hak orang lain dalam masyarakat juga adalah satu tuntutan dalam agama. Dalam hal ini, hak-hak individu dalam masyarakat hendaklah dipraktikkan.

Hakikatnya tiada masalah untuk menyusu di tempat terbuka. Asalkan akhlak dan aurat terjaga selain berusaha melindungi diri daripada fitnah.

Menyusukan anak adalah satu ibadah dan bukanlah satu jenayah.

Lihatlah penyusuan ibu semata-mata demi mengenyangkan si kecil yang kelaparan dan bukan membayangkan perkara lucah di dalam kotak fikiran yang sempit seperti seekor katak di bawah tempurung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI