fbpx
Sze Han (tengah) melihat premis yang telah melakukan pencemaran sehingga menyebabkan empat LRA dihenti tugas di kawasan perindustrian ringan Jalan Velox 2, Rawang hari ini.

17 premis di Jalan Velox, Rawang tiada lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Kerajaan negeri mendedahkan sebanyak 17 premis di kawasan perindustrian ringan Jalan Velox 2 di sini dapati tidak berlesen dan telah tamat tempoh.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, ini termasuk premis yang menyebabkan pencemaran terbaharu sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas semalam.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendapati terdapat 62 premis di lokasi ini dengan kebanyakanya adalah bengkel mesin dan jentera berat.

“Kita telah mengarahkan 17 premis itu ditutup serta-merta hari ini dan dikenakan kompaun RM1,000.

“Kawasan perindustrian ini juga dipercayai berisiko (melakukan pencemaran) kerana banyak aktiviti bengkel dan perlu memastikan sisa minyak hitam itu dilupuskan mengikut saluran yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau premis yang melakukan pencemaran bau di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan perancangan bandar sedia ada membenarkan bengkel beroperasi di kawasan perindustrian ringan berdekatan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK).

Ujar Sze Han, bagaimanapun pemantauan berterusan akan dilakukan antara pihak berkuasa tempatan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi penguatkuasa lain.

“Saya ingin mengingatkan semua kepada pihak bahawa apa sahaja efluen yang dibuang akan terus ke longkang seterusnya ke sungai.

“Kita juga berharap pemilik premis perlu mengambil berat terhadap kegiatan penyewa mereka dan bukannya lepas tangan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN