fbpx

Polis Kedah rampas heroin, syabu lebih setengah juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasanuddin (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Tanah Merah, Jitra semalam.

ALOR SETAR – Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan selepas menahan enam individu termasuk remaja berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Tanah Merah, Jitra dekat sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.45 pagi itu, sebanyak kira-kira 24 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM576,000 dirampas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil maklumat dan risikan, bahagian operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menyerbu rumah tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita menahan masing-masing tiga lelaki dan perempuan berusia antara 16 hingga 34 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu beg kanvas berzip di atas lantai rumah mengandungi 5.4 kg heroin dan 1.9 kg syabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, hasil soal siasat ke atas suspek lelaki berusia 34 tahun yang merupakan peniaga pakaian dalam talian, polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Satria Neo yang diletakkan di tepi jalan berhampiran rumah tersebut.

“Kita menemui dadah jenis heroin seberat 13.6 kg dan 3 kg syabu di dalam kereta berkenaan yang dipercayai milik suspek terbabit,” ujarnya.

Selain itu, menurut Hasanuddin, pihaknya turut menyita lima buah kereta iaitu jenis BMW, Mercedes Benz, Honda Civic, Honda City dan Perodua MyVi.

“Kita turut menyita tiga buah motosikal serta gelang tangan, rantai, cincin dan loket dipercayai emas selain wang tunai RM10,260,” katanya.

Tambahnya, suspek lelaki berusia 31 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki tiga rekod dadah manakala suspek berusia 34 tahun negatif dadah dan mempunyai rekod dadah dan jenayah.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI