fbpx

Agenda Trump akan dirombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden dipeluk beberapa cucu beliau selepas Presiden AS yang dilantik itu selesai berucap di Chase Center di Wilmington, Delaware pada Sabtu lalu. – AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang di­pilih, Joe Biden dikhabarkan mahu mengubah beberapa agenda Donald Trump dengan menandatangani beberapa pe­rintah eksekutif secepat mungkin selepas sesi angkat sumpah pada 20 Januari depan.

Bekas Naib Presiden AS itu didakwa merancang mengubah dasar-dasar Trump termasuk ‘sekatan Muslim’ dan kembali menyertai Perjanjian Iklim Paris dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata sumber rapat dengan kem Biden kepada akhbar The Washington Post pada Sabtu lalu.

Jika susunan rancangan itu direalisasikan, ia akan menandakan satu rombakan secara besar-besaran yang pernah berlaku dalam sejarah peralihan jawatan presiden di AS.

“Pasukan dasar dan kumpu­­lan­ peralihan polisi kini memberi tumpuan utama ke atas kuasa eksekutif,” kata seorang sekutu Biden yang mahu namanya dirahsiakan kepada wartawan akhbar itu.

“Saya menjangkakan, ini akan digunakan secara bebas dalam pentadbiran Biden buat masa ini, sekiranya Senat menjadi satu halangan,” katanya.

Biden juga dijangka memansuhkan satu larangan perjalanan yang dibuat oleh Trump ke atas beberapa negara Islam.

Calon daripada Parti Demokrat itu didakwa mahu mengembalikan satu program untuk membenarkan anak-anak golongan pendatang asing yang masuk ke AS secara haram, kekal di negara itu.

Pendatang yang turut dikenali sebagai dreamers masih me­nunggu untuk memperoleh ke­rakyatan Amerika yang pernah dijanjikan Barack Obama semasa beliau menjadi Presiden AS tetapi dimansuhkan Trump.

Sebagai tambahan, Biden akan berusaha untuk mengurangkan impak perubahan iklim dengan menyakinkan negara lain supaya menerima standard-standard lebih tinggi untuk melindungi alam sekitar.

Cadangan Biden bagi mencapai kadar emisi karbon sifar menjelang 2050 dan pelaburan AS$1.7 trilion (RM7 trilion) bagi pelan pemulihan hijau dilihat mampu mengurangkan kadar kepanasan global 0.1 Celsius.

Pendekatan itu boleh membantu merealisasikan misi Perjanjian Iklim Paris, menurut satu analisis yang disiarkan oleh akhbar The Guardian kelmarin.

Biden berjanji mengemukakan satu rang undang-undang kepada Kongres untuk memba­talkan pelindungan liabiliti terhadap pengeluar-pengeluar senjata dan ‘menarik balik’ potongan cukai yang diluluskan pihak Republikan kira-kira tiga tahun lalu.

Selain menyertai semula WHO, Biden merancang untuk menyiapkan satu pendekatan saintifik termasuk satu pasukan petugas pakar sains untuk me­merangi pandemik Covid-19.

Trump menarik AS keluar daripada WHO ketika dunia sedang bergelut dengan krisis ­koronavirus.

Senator Christopher Coons daripada Parti Demokrat ber­kata, Biden akan berbincang dengan pemimpin kedua-dua parti untuk menguruskan krisis koronavirus.

Coons memberitahu Washing­ton Post bahawa agenda Biden akan bermula selepas majlis angkat sumpah dan mampu ‘mengeluarkan AS daripada pandemik yang bertukar lebih buruk di­sebabkan salah urus oleh Trump, membina semula ekonomi dalam keadaan lebih mampan dan kebersamaan, menyelesaikan isu perpecahan dan ketidaksamarataan’.

Individu yang rapat dengan Biden memberi bayangan bahawa bekas naib presiden itu mungkin lebih bergantung kepada pendekatan perintah eksekutif, jika Parti Republikan memiliki majoriti di Senat. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI