fbpx

Jangan rentas daerah, negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Penduduk yang berada di zon merah sekali lagi diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti rentas daerah atau negeri termasuk pulang ke kampung bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama ia juga bagi memastikan penyakit dari zon merah tidak dibawa ke zon hijau kerana biarpun tidak mempunyai gejala, jangkitan tetap boleh berlaku.

“Jika balik ke kampung, ada risiko membawa jangkitan terutama kepada ibu bapa, warga emas dan kanak-kanak. Ini yang berlaku satu kes balik ke Kelantan seterusnya menjangkiti empat ahli keluarga.

“Saringan kemudian dijalankan terhadap 127 individu iaitu 40 kakitangan yang bekerja bersamanya selain 87 lagi ialah kenalan dan ahli keluarga terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun tidak bergejala, jangkitan tetap boleh berlaku kerana sedia maklum kira-kira 60 atau 70 peratus mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak mempunyai gejala.

“Justeru kalau boleh elak rentas sempadan negeri dan daerah. Jangan bawa penyakit ke zon hijau.

“Penduduk di kawasan zon hijau pula pastikan mereka ambil tindakan berjaga-jaga dan elakkan daripada terdedah dengan kes zon merah,” katanya.

Media melaporkan, seorang jururawat dari Selangor pulang ke kampungnya di Jeli, Kelantan kemudiannya menyumbang kepada empat kes positif termasuk bayi perempuan berusia 22 hari iaitu anak saudaranya.

Difahamkan, jururawat yang bertugas di hospital swasta itu pulang ke kampung pada Oktober serta kembali ke Selangor dan disahkan positif Covid-19.

Berhubung penetapan hanya 80 Ahli Parlimen masuk ke Dewan Rakyat, beliau berkata, Parlimen mempunyai 222 Ahli Parlimen dan itu belum dicampur dengan pegawai mereka selain pegawai dan kakitangan kementerian yang perlu hadir ke situ.

“Jika melihat jumlah itu, ia sangat ramai dan kita bimbang akan berlakunya jangkitan sekiranya ada dalam kalangan mereka itu positif Covid-19.

“Walaupun sudah menjalankan saringan, Ahli Parlimen datang dari pelbagai kawasan dan mereka masih terdedah di komuniti seperti sekarang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang jadi, mereka boleh terdedah dengan kes positif,” katanya.

Justeru, Noor Hisham berkata, pihaknya mengesyorkan supaya ujian saringan berkala dilaksanakan dua minggu sekali untuk memastikan mereka tidak dijangkiti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI