KETIKA industri hiburan tanah air kini rancak didominasi penyanyi generasi baharu, bintang-bintang senior tidak pudar sinar.
Saling mencari platform untuk meneruskan survival, pelantun lagu Bekas Kekasih itu juga tidak ketinggalan mengukuhkan kedudukan sebagai anak seni.
Tidak gentar dicabar oleh penyanyi baharu, pemilik nama Shah Indrawan Ismail itu sanggup memperjudikan nasib dengan menyertai program Vokal Mania.
Bersiaran menerusi saluran TV3 pada setiap Sabtu pukul 9 malam, Tomok perlu bertarung dengan 24 orang penyanyi amatur yang diberi gelaran Rookie.
Tidak bersendirian di medan Vokal Mania, terdapat tiga seperjuangan lain yang digelarkan sebagai Idol iaitu Indah Ruhaila, Aina Abdul dan Lan Solo turut bersaing dalam program tersebut.
Bagi Tomok kehadiran program sebegitu secara tidak langsung dapat menghasilkan pelapis baharu yang berkualiti dan bukannya populariti.
“Program ini juga merupakan sebuah rancangan televisyen yang menggunakan konsep baharu dan berbeza berbanding sebelum ini. Selain itu, saya juga dapat menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu.

“Vokal Mania bukan sahaja berbeza berbanding program realiti yang lain tetapi memberi perspektif baharu terhadap penyanyi senior untuk menyertainya. Tidak semua artis senior berani untuk menyertai program sebegitu,” kata lelaki berusia 36 tahun itu dengan yakin.
Tomok juga cukup menyedari, sudah menjadi adat pertandingan, ada kalah dan menang. Tidak adil buat mereka yang bergelar Idol untuk menang pada setiap konsert.
Mengambil pendekatan untuk berfikiran positif, Tomok menyerahkan segalanya kepada takdir. Kemenangan dalam bertandingan bergantung pada rezeki masing-masing.
“Kemenangan milik setiap peserta. Boleh jadi akan berpihak kepada Idol mahupun Rookie. Justeru tidak perlu khuatir kerana setiap mereka mempunyai bahagian masing-masing,” terang Tomok sambil melepaskan ketawa kecil.
Sokongan
Dalam pada itu, Tomok turut meluahkan ada kekosongan terbit dari jiwanya saat membuat persembahan tanpa kehadiran penonton.
Setelah sekian lama membuat persembahan di hadapan khalayak, membuatkan Tomok sedikit canggung ketika beraksi di atas pentas tanpa suntikan semangat daripada penonton.
“Sejujurnya situasi sekarang seperti satu kehilangan buat saya. Tetapi sebagai rakyat bertanggungjawab, kita perlu patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan demi memastikan keselamatan semua pihak daripada dijangkiti Covid-19,” terang Tomok.

Biarpun pada mata kasarnya tiada penonton tampil dalam konsert tetapi sokongan peminat tetap tidak putus buat Tomok.
Ketika dia tewas di tangan Aishah Retno pada konsert minggu pertama, peminat tidak putus memberi kata-kata semangat yang positif kepada dirinya, biarpun secara online.
“Terima kasih kepada peminat yang terus memberi sokongan dengan menghantar mesej menerusi Instagram. Insya-Allah saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik selepas ini,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.
Konsert
Melanjutkan cerita tentang karier, sebenarnya agak lama Tomok tidak muncul dengan buah tangan baharu. Secara peribadi, Tomok sendiri mempunyai perancangan untuk mengeluarkan single dalam tempoh masa terdekat tetapi hasrat tersebut perlu ditunda sehingga tiba waktu yang sesuai.
Katanya, agak sukar untuk melakukan sesi rakaman dalam keadaan sekarang memandangkan penularan Covid-19 masih membimbangkan.
“Perancangan ke arah itu ada tetapi tunggu masa. Sekarang saya fokus terhadap Vokal Mania dan keluarga.
“Insya-Allah sekiranya tiada halangan dan tiba masa yang sesuai, saya akan muncul dengan single baharu,” jelasnya.
Selain itu, Tomok juga akan muncul dengan konsert berskala besar pada Disember depan bertempat di Istana Budaya.
Tidak bersendirian, acara yang diberi nama Konsert 4G’S turut mempamerkan gabungan persembahan daripada tiga rakan penyanyi popular yang juga sahabat seperjuangannya, Akim, Hazama dan Black Hanifah.















