fbpx

KPPK beri tumpuan 4 fokus utama pertumbuhan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi tumpuan kepada empat fokus utama yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui insiatif yang akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2021, Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK adalah memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS-G).

“Namun, skim tersebut jika diluluskan akan dihadkan  kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar.

“Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.

Sementara itu, katanya, bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan.

“Pendekatan baru ini adalah merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di negara ini sejak 2007.

” Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin. Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan, “katanya.

Menurut beliau, KPPK amat prihatin dengan cabaran yang diharungi oleh pekebun kecil getah dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang memerlukan.

“Oleh itu, kementerian telah mengemukakan cadangan Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara.

“Inisiatif ini akan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump.

“Selain itu, KPPK turut berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Khairuddin berkata, KPPK turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

Beliau berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrikomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI