fbpx

2 remaja diberkas, rakan diburu aktif curi motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peralatan yang dirampas hasil tangkapan ke atas dua remaja mencuri motosikal sekitar IPD Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Kegiatan tiga remaja yang aktif melakukan jenayah curi motosikal sejak lapan bulan lalu tumpas apabila dua daripada mereka diberkas polis dalam serbuan Selasa minggu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 5.15 petang itu, kedua-dua remaja berusia 15 dan 16 tahun yang tidak bersekolah ditahan di kawasan sebuah apartmen Taman Nusa Duta di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejayaan itu hasil siasatan ke atas laporan kecurian motosikal seorang peniaga cuci kenderaan berusia 33 tahun pada 11 Oktober lalu.

“Hasil risikan dan siasatan kita berjaya menahan dua remaja yang tidak bersekolah dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal sejak Mac lalu.

“Dalam serbuan itu kita berjaya merampas dua buah motosikal jenis Yamaha MT-09 dan 125Z yang dilaporkan hilang di Gelang Patah serta Pekan Nenas, Pontian,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan mencuri kenderaan termasuklah sepana, besi pembuka tayar, tong gas cecair butana beserta alat pemotong api.

Jelasnya, dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan enam kes curi motosikal sekitar daerah ini.

“Kita masih memburu seorang lagi rakan kepada suspek ini berusia 16 tahun yang masih bebas dipercayai turut terlibat dalam jenayah ini,”katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati salah seorang daripada suspek memiliki rekod atas kesalahan jenayah dan dadah.

Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI