fbpx

Orang Asli mahu capaian internet, talian telefon dipertingkatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masyarakat Orang Asli berharap kemudahan jalur lebar dan talian telefon di kawasan Hulu Kelantan dapat dipertingkatkan.

GUA MUSANG – Liputan internet dan talian telekomunikasi lebih baik merupakan permintaan penduduk kampung Orang Asli di kawasan pedalaman daerah ini.

Masyarakat Orang Asli menyedari kemudahan itu merupakan satu keperluan masa kini yang sangat penting.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, kedudukan kampung Orang Asli yang terletak di kawasan hutan dan bukit-bukau menyebabkan kurangnya liputan kemudahan itu.

Katanya, masalah itu menyukarkan urusan perhubungan komunikasi dengan dunia luar khususnya ketika menghadapi kecemasan.

“Kita minta supaya syarikat komunikasi membina banyak pencawang di kawasan kampung Orang Asli bagi meningkatkan lagi capaian.

“Pihak kerajaan harus memahami bahawa masyarakat pedalaman sudah lama menghadapi masalah ini dan kami juga mahu kemudahan seperti di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Seorang penduduk kampung, Alak Asu, 36, berkata, liputan komunikasi bukan sahaja lemah di Pos Bihai tetapi di semua pos Orang Asli yang dihubungkan dengan jalan balak.

Katanya, mereka sudah lama membangkitkan perkara itu termasuk mahukan jaringan perhubungan jalan yang lebih selesa.

“Kita sudah hampir ke penghujung tahun 2020, namun penduduk Orang Asli di kawasan Hulu Kelantan masih lagi menghadapi masalah perhubungan talian internet dan telefon.

“Ada kalanya kami perlu ke kawasan berbukit dan memanjat pokok tinggi bagi mendapatkan capaian internet dan membuat panggilan telefon,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mengakui kemudahan jalur lebar dan telefon di kawasan pedalaman masih berada pada tahap lemah.

Katanya, tidak semua penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan mendapat kemudahan itu.

“Liputan internet dan talian yang baik di pedalaman harus menjadi keutamaan dengan menjadikan teknologi pembelajaran atas talian sebagai alat pendidikan utama sepanjang tempoh krisis wabak Covid-19 ini.

“Kita berharap menerusi pembentangan Belanjawan 2021 yang dijangka pada 6 November ini dapat memberi peruntukan secukupnya untuk kemudahan telekomunikasi di kawasan Orang Asli,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI