fbpx

Banyak bangunan runtuh, gempa kuat gegar Turki, Greece

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL, Turki  –  Gempa bumi kuat menggegarkan Greece  dan Turki hari ini  dan mengakibatkan banyak bangunan runtuh serta paras air laut meningkat sehingga membanjiri jalan-jalan di bandar peranginan Turki, Izmir.

Stesen televisyen awam Greece melaporkan,  gempa tersebut  juga mencetuskan tsunami kecil di Pulau Samos, Laut Aegean di timur negara itu yang  menyebabkan sebilangan bangunan rosak.

Jabatan  Geologi Amerika Syarikat menyatakan,  gempa berkekuatan 7.0 pada skala Richter itu berlaku  14 kilometer di luar bandar Karlovasi di Pulau Samos, Greece.

Agensi bencana kerajaan Turki melaporkan magnitud lebih rendah iaitu 6.6 pada skala Richter untuk gempa tersebut.

Gambar-gambar dari Izmir menunjukkan bangunan-bangunan runtuh dan orang ramai yang keliru mencari laluan keluar di celah-celah timbunan runtuhan di jalan-jalan raya.

“Setakat ini, kami menerima maklumat mengenai enam bangunan yang runtuh ​​di wilayah Izmir termasuk bandar peranginan Izmir,” kata Menteri Dalam Negeri Turki,  Suleyman Soylu di Twitter.

“Sebilangan warga kita terperangkap di bawah runtuhan,” kata Menteri Alam Sekitar Murat Kurum pula sambil menambah,  beliau mengetahui bahawa lima bangunan runtuh.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Izmir,  Tunc Soyer memberitahu saluran berita CNN Turk bahawa beliau menerima maklumat mengenai 20 bangunan runtuh dalam bencana alam itu.

Gambar-gambar  di media sosial menunjukkan air mengalir di jalan-jalan di Izmir selepas air laut melimpah.

Asap  tebal juga naik ke udara dari pelbagai lokasi  bangunan yang runtuh.

Sementara itu, Presiden Turki,  Recep Tayyip Erdogan menyatakan di Twitter bahawa beliau  bersedia membantu dengan apa cara sekali pun demi negara Turki.

“Ini adalah malapetaka,” katanya.

Turki dan Greece terletak dalam zon  gempa antara paling aktif di dunia.

Pada tahun 1999, gempa bumi kuat berukuran  7.4 pada skala Richter menggegarkan barat laut Turki dan mengakibatkan lebih 17,000 orang terkorban termasuk  1,000 orang di Istanbul. – AFP