fbpx

Melaka tutup semua pulau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Melaka tutup semua pulau termasuk Pulau Besar bagi mengekang penularan Covid-19.

MELAKA – Kerajaan negeri ini menutup kemasukan dan melarang sebarang aktiviti di semua pulau termasuk Pulau Besar sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, penutupan pulau itu bagi menghindari sebarang kemunculan kluster baharu yang berpunca daripada perhimpunan termasuk sambutan Maulidur Rasul yang sering dilakukan di Pulau Besar.

“Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri memutuskan tiada program berskala besar akan diadakan di negeri ini bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Acara mahupun perjumpaan berskala kecil yang membabitkan perjumpaan dalaman sahaja dibenarkan dan program berskala besar melebihi jumlah yang telah ditetapkan adalah dilarang sama sekali bagi mengekang kemunculan kluster baharu,” katanya.

Sulaiman berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Ziarah Prihatin sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442H/2020M di Pusat Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Md Rawi Mahmud dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil.

Terdahulu, Pulau Besar merupakan salah satu lokasi pelancongan negeri ini dan menjadi tumpuan lokasi penganjuran program-program keagamaan termasuk sambutan Maulidur Rasul setiap tahun.

Sementara itu Halim ketika diminta mengulas lanjut isu Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengkritik orang Islam dan mempertahankan satu penerbitan kartun Nabi Muhammad, beliau berkata umat Islam negara ini mempunyai hak untuk memboikot produk negara itu.

“Tindakan memboikot produk Perancis adalah tanda kemarahan yang dizahirkan umat Islam sebagai langkah memberi peringatan kepada negara berkenaan bahawa sensitiviti berkaitan agama tidak wajar dipermainkan.

“Sebagai pengguna ada hak pengguna namun mesti letak kebijaksanaan dalam melihat isu ini secara holistik,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI