fbpx
SHAHRUL mahu membantu Perak mencapai matlamat layak ke Piala AFC sebagai juara Piala Malaysia musim ini.

Piala Malaysia peluang terakhir Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Azizan Hashim

FORMAT baharu saingan Piala Malaysia oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang akan membuka tirainya bermula 6 November ini dijangka memberi kesukaran kepada semua pasukan untuk mengatur pe­rancangan

Pandangan tersebut di­suarakan kapten Perak, Shahrul Mohd. Saad selepas pertan­dingan bola sepak tertua Asia Tenggara itu buat kali pertama bakal diadakan dengan format kalah mati susulan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Tidak seperti kebiasaan yang menyaksikan 16 pasukan diletakkan dalam empat kumpulan untuk menentukan dua pasukan teratas mara ke peringkat seterusnya, namun kali ini perlu bermain secara kalah mati bermula pusingan per­tama, suku akhir, separuh akhir dan final.

“Hanya ada satu peluang dan jika kalah habis cerita.

“Justeru, setiap pasukan perlu berhati-hati dan tidak boleh melakukan kesilapan. Dulu peluang untuk bangkit tetap ada biarpun tumpas satu perlawanan, “ kata Shahrul kepada Kosmo! kelmarin.

Dalam perkembangan sama, tonggak pertahanan The Bos Gaurus itu mengakui, mereka masih kecewa berikutan kegagalan meraih tempat kedua Liga Super musim ini sekali gus terlepas slot automatik ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.

“Namun, peluang masih belum tertutup sepenuhnya ke­rana juara Piala Malaysia juga akan meraih slot terakhir ke Piala AFC.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk merangkul kejua­raan Piala Malaysia kali ini, “ jelas bek tengah skuad Harimau Malaya itu.

Pemain kebangsaan berusia 27 tahun itu yakin Perak ber­upaya menurunkan kesebelasan terbaik pada saingan Piala Malaysia nanti selepas pasukan bimbingan Mehmet Durakovic tersebut kini bebas sepenuh­nya daripada isu kecederaan.

Katanya, persiapan pasukan juga berjalan lancar dan pemain tampak bersemangat menjalani latihan menjelang sepak mula kejohanan merebut piala yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu dua minggu lagi.

BERITA BERKAITAN