fbpx

5 tahun jaga anak saudara OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chandram (duduk kanan) sebak menceritakan mengenai kisah Sri Durga ketika ditemui di Flat SEDC, Taman Air Biru, Pasir Gudang baru-baru ini.

PASIR GUDANG – Biarpun pahit untuk ditelan dalam meneruskan kehidupan yang serba kekura­ngan, seorang warga emas yang tinggal di Flat SEDC, Jalan 10/17, Taman Air Biru di sini tabah menjaga anak saudara orang kelainan upaya (OKU) sendirian sejak lima tahun lalu.

S. Chandram, 61, menjaga G. Sri Durga Devi, 18, bagai menatang minyak yang penuh seperti anak sendiri selepas Sri Durga kehilangan ibunya, S. Sarasu akibat penyakit sawan pada Julai 2015.

Remaja OKU masalah pem­belajaran itu sekali lagi terpaksa menerima hakikat apabila b­apanya, Gengaraj pula meninggal dunia sebulan kemudian ekoran penyakit paru-paru berair.

“Sri Durga mengalami masalah kesihatan sejak dia bayi lagi kerana dilahirkan tidak cukup bulan, sejak itu saya bantu menjaga dia bersama-sama emaknya yang juga adik kandung saya.

“Lepas emak dia meninggal dunia, saya ambil alih jaga dia sebab adik saya (Sarasu) berpesan biar apa pun terjadi dia mahu saya jaga Sri Durga sampai bila-bila,”katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berkongsi kisah keperitan hidupnya, Chandram berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai buruh di Kota Tinggi sebelum berhenti kerja untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada Sri Durga.

Jelasnya, Sri Durga tidak mampu bergerak dan menguruskan diri sendiri setelah tulang belakangnya bengkok selain urat-sarafnya sudah kejang akibat tidak menerima rawatan terapi ketika kecil.

“Semasa emak dan bapanya masih ada, memang kami hidup susah dan sebab itulah Sri Durga tidak dapat diuruskan de­ngan baik atas faktor kekangan kewangan”katanya

Chandram berkata, anak saudaranya itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM350 dan Yayasan Pasir Gudang sebanyak RM80 sebulan.

Dengan bantuan itulah Chandram membayar sewa rumah RM330 sebulan dan selebihnya digunakan untuk membeli barang dapur serta keperluan Sri Durga.

Apa yang diharapkan warga emas itu, dia sangat berharap agar ada insan berhati mulia tampil membantu meringankan bebannya untuk menyumbang dari segi kewangan bagi rawatan terapi Sri Durga selain kerusi roda.

“Sebelum saya mati, saya mahu bawa dia pergi buat rawatan supaya dia boleh berjalan dan mampu uruskan dirinya sendiri, nanti senang untuk orang yang jaga dia nanti,” katanya sambil menyapu air mata.

Chandram boleh dihubungi di talian 016-7744557.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI