fbpx

Datuk, Datin mengaku tidak salah guna dokumen palsu cadangan pangsapuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua tertuduh Datuk Mokhtar Haron,66, (baju ungu) dan isterinya Datin Noorizan Abd. Shukor ,43, (paling kiri) keluar selepas masing-masing membayar ikat jamin di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri bergelar Datuk dan Datin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung cadangan pembangunan pangsapuri tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Datuk Mokhtar Haron,66, dan Datin Noorizan Abd. Shukor,43, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat tajuk “Permohonan Cadangan Pembangunan Menara Pangsapuri 40 Tingkat (252 Unit) dan “Cadangan Cantuman Lot (7 Kepala Lot) Untuk Pembangunan Pangsapuri” masing-masing pada  bertarikh 24 dan 29 Oktober 2019 yang diketahui sebagai suatu dokumen palsu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan TPC Kuala Lumpur Golf & Coutry Club di sini pada 30 Oktober 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468  yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut dengan alasan kedua-dua anak guamnya tidak bekerja.

“Anak guam kami yang berusia 66 tahun hanya menjalankan kerja-kerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menghidap penyakit panic disoder (serangan panik atau keresahan) manakala tertuduh yang berusia 43 tahun yang merupakan seorang suri rumah mempunyai penyakit diabetes. Mereka juga memiliki seorang anak berusia 18 tahun yang masih belajar di sebuah universiti dan seorang anak angkat berusia tujuh tahun.

“Sepanjang siasatan dijalankan sejak awal tahun ini, kedua-dua tertuduh tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak berkuasa,” katanya.

Selepas mendengar pernohonan kedua-dua belah pihak, Izralizam kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin berserta syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis Ayer Keroh, Melaka sekali setiap bulan memandangkan kedua-duanya tinggal di Melaka.

Tarikh 2 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes.

Pada Mei lalu media melaporkan,  polis  mengesahkan menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung aduan sebuah firma arkitek mengenai arahan pembangunan (DO) palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad berkata ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes penipuan berhubung kelulusan perancangan pembangunan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI