fbpx

Aplikasi THiJARI mudahkan urusan pendeposit TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK MOHD. HASYUDEEN (kanan) menunjukkan aplikasi THiJARI yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar bagi memudahkan urusan pendeposit. – IHSAN FACEBOOK TABUNG HAJI

MENJADI satu kemestian untuk umat Islam di Malaysia untuk menyimpan dan mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya ingin menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji.

Ditubuhkan pada tahun 1969, TH menjadi satu badan yang menguruskan permohonan serta perjalanan untuk masyarakat negara ini melaksanakan ibadah tersebut.

TH juga menjadi institusi kewangan Islam untuk umat Islam menabung dan mengumpulkan wang bagi membiayai kos perbelanjaan menunaikan ibadah haji.

Sebelum ini, sebarang urusan sama transaksi atau sebagainya, pendeposit perlu ke pejabat TH berdekatan untuk menyelesaikannya.

Namun seiring transformasi dalam bidang teknologi, TH bergerak ke hadapan dengan mengambil pendekatan membangunkan dan memperkenalkan aplikasi THiJARI.

Melalui aplikasi tersebut, pelbagai transaksi boleh dilakukan dengan menggunakan hujung jari.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff menegaskan, aplikasi THiJARI dibangunkan sebagai usaha untuk memudahkan capaian para pendeposit TH kepada sistem perkhidmatan dalam talian selari dengan kehendak dan kepesatan teknologi semasa.

“Pelancaran aplikasi THiJARI ini adalah seiring dengan kecenderungan penggunaan teknologi pada era moden hari ini.

“Sejak pengenalan portal THiJARI pada Februari lalu, sebanyak 300,000 pendeposit TH telah mendaftar di platform ini. Namun menerusi pelancaran aplikasi mudah alih ini, kami menjangkakan jumlah tersebut akan bertambah kepada 500,000 orang menjelang akhir tahun ini,” katanya.

 

INFO solat dan arah kiblat juga boleh dirujuk di aplikasi THiJARI.

 

Tambahnya, penggunaan saluran online dilihat memenuhi cita rasa pendeposit TH menuju ke hadapan dengan kira-kira 45 peratus pendeposit terdiri daripada golongan muda yang berusia 35 tahun ke bawah.

Transaksi TH akan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan cepat melalui aplikasi THiJARI kerana ia kini sudah berada di hujung jari.

Capaiannya juga lebih selamat dan ringkas dengan hanya menggunakan cap jari atau imbasan wajah.

Penggunaan saluran online terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH.

Rekod menunjukkan, 78 peratus transaksi telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta perbankan intenet bank-bank rakan strategik TH seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB Islamik.

Hanya 22 peratus transaksi dilakukan di kaunter.

Dengan pelancaran aplikasi THiJARI ini, TH berharap pendeposit akan dapat melaksanakan transaksi TH dengan lebih mudah di mana-mana sahaja seperti di rumah, pejabat atau ketika berada berada di dalam dan luar negara.

Aplikasi THiJARI ini boleh dimuat turun terus daripada Google Play atau App Store secara percuma ke telefon pintar atau tablet.

Pendaftaran untuk menggunakan aplikasi itu juga cukup mudah dengan hanya tiga langkah mudah pendeposit boleh terus menggunakannya.

Untuk menggunakan aplikasi itu, pendeposit perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai pengguna di laman web THiJARI, www.thijari.com.my dengan memasukkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun dan nombor telefon berdaftar dengan TH.

Pengguna kemudian perlu mengisi kata nama dan kata laluan, nama untuk paparan dan negeri terkini, serta memilih ikon atau gambar keselamatan pilihan bagi membolehkan aplikasi itu diakses iaitu kaedah dan ciri keselamatan sama seperti menggunakan perbankan internet lain.

Aplikasi itu mempunyai dwi bahasa iaitu bahasa Malaysia dan Inggeris.

Melalui aplikasi tersebut, para pendeposit TH boleh melakukan transaksi dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, pemindahan wang, semak status haji dan pendaftaran haji.

Lebih menarik, melalui aplikasi itu, pengguna boleh mengetahui info solat bagi setiap waktu dan juga arah kiblat bagi sesuatu kawasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI