fbpx
RATU BALQIS

Musnahnya bahagia Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh NURFARHANA MOHAMED

 

BAKAT bekas peserta Mentor Milenia 2017, Ratu Balqis ini pernah disebut antara yang bakal bersinar sebaris rakan seperjuangannya dalam program tersebut.

Pun begitu, karier seni anak kelahiran Terengganu itu terhenti selepas dia membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan pada 30 November 2017.

Impian mahligai yang dibina untuk bertahan lama akhirnya musnah selepas empunya nama sebenar, Nor Balqis Ahmad Tajudin yang berkahwin pada usia 18 tahun sah bercerai awal tahun ini.

Menafikan perpisahan yang berlaku itu berpunca daripada ‘darah muda’, Balqis bagaimanapun reda dengan suratan takdir.

RATU BALQIS reda dengan suratan takdir yang menimpa dirinya selama ini termasuk melibatkan keruntuhan rumah tangganya.

“Alam perkahwinan ada pasang surutnya. Kami sudah cuba untuk mempertahankan rumah tangga, namun tidak nampak jalan penyelesaiannya.

“Orang luar tuduh saya tak pandai jaga cara pemakaian menjadi punca penceraian kami. Mereka hanya menilai daripada mata kasar. Orang tidak tahu apa yang saya rasa dan lalui.

“Biarkan sahaja mereka membuat spekulasi tidak betul, janji kita tahu kisah sebenar dan saya buat apa yang disukai,” kataya memulakan perbualan.

Sejak Balqis, 21, membuat pendedahan tentang statusnya awal tahun ini, malah hak penjagaan anak tunggalnya, Mohd. Hamka Iman, 2, yang berada di bawah jagaan bekas suami turut menjadi topik hangat.

Bekas protege penyanyi Hazama itu bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut tentang hak penjagaan anak lelakinya dan hanya menyerahkan kepada keputusan mahkamah.

“Sekarang saya dalam proses menuntut hak penjagaan anak di mahkamah. Benda ini tak ada jawapan lagi, jadi saya tak berani nak ulas apa-apa sebab takut orang salah faham.

“Buat sementara waktu, saya masih boleh berjumpa dengan anak setiap hari seperti biasa,” jawabnya ringkas.

BAGI penyanyi berusia 21 tahun ini, dia teruja kerana baru sekarang berpeluang mempunyai lagu sendiri.

Buaya, simbol kekuatan wanita

Lima belas tahun mencari tapak di dalam persada seni bagi mengukuhkan nama, Balqis terus bersemangat untuk memahat nama sebaris penyanyi lain.

Selepas dua tahun mengorbankan masa dan bakat demi menguruskan rumah tangga, kini fokus utama Balqis ialah membuat kemunculan semula menerusi single sulung berjudul Buaya.

“Masa saya masih bergelar isteri, saya tidak dikongkong sampai tak boleh aktif menyanyi seperti yang didakwa. Saya sendiri buat keputusan untuk berhenti sebab mahu fokus pada rumah tangga.

“Tapi selepas bercerai, saya rasa ini masa paling sesuai untuk saya kembali aktif. Dari kecil saya menyanyi, minat itu dah bercambah dalam diri, jadi memang tak boleh nak berhenti menyanyi.

“Untuk percubaan perdana, saya keluarkan single berjudul Buaya sebagai tanda pengenalan pada pendengar.

“Lama saya tunggu nak ada lagu sendiri. Umur 21 tahun baru dapat rasai pengalaman berharga ini,” luahnya teruja.

Bercerita lanjut tentang pembikinan single Buaya, Balqis memberitahu, dia berbangga dengan kerja akhir lagu terbabit.

Lebih istimewa, dia gembira apabila pelawaannya untuk menampilkan penyanyi Mimifly dalam lagu berkenaan disambut baik.

“Selain bergelar protégé Hazama, saya anggap Mimi macam guru seni. Waktu program Mentor Milenia 2017 dahulu, dia banyak beri tunjuk ajar saya cara menguasai persembahan pentas dengan baik.

“Memang saya idolakan dia dan rasa terharu sangat bila Mimi tidak menolak untuk bekerjasama sekali lagi dengan saya.

“Kisah di sebalik lagu Buaya ini sebenarnya saya nak ceritakan tentang seorang wanita perlu kuat dan jangan mudah diperdaya oleh golongan lelaki.

“Tak keterlaluan untuk katakan, saya juga pernah berdepan dengan pengalaman sama, jadi agak mudahlah untuk saya bawakan lagu ini,” kongsinya.

Single itu mendapat sentuhan komposer Iqie Hugh dan Shaqiel Naufal, manakala lirik turut ditulis oleh Balqis dan Mimifly.

“Tiada istilah saya menumpang populariti Mimi untuk kemunculan sulung ini. Dan tak ada sebab untuk saya tak berani bergerak atas kaki sendiri.

“Apa salahnya saya cuba tampilkan kelainan bergandingan dengan idola sendiri. Insya-Allah, untuk karya akan datang, saya akan hasilkan dengan cara berbeza.

“Besar harapan jika pendengar boleh terima dengan apa yang saya cuba sampaikan. Saya cuma nak berhibur dan kembangkan bakat,” ungkapnya yang menyimpan hajat untuk membuka kelas tarian satu hari nanti.

RATU BALQIS muncul dengan single perdana iaitu lagu duet dengan Mimifly berjudul Buaya.

Enggan buat banyak kerja

Memiliki pakej lengkap, tidak mustahil Balqis akan lekas disambar mana-mana rumah produksi yang mahu mencungkil bakat lakonannya.

Ditanya tentang soal itu, dia tidak menolak jika ada tawaran selain daripada nyanyian pada masa akan datang.

“Saya tak memilih kerja, apa sahaja tawaran yang hadir, akan cuba diterima dengan baik. Tambahan pula saya banyak komitmen dan kena tanggung keluarga.

“Cuma buat masa sekarang ini, saya nak fokus untuk promosikan karier nyanyian dulu sebab saya tak boleh buat banyak kerja dalam satu masa.

“Saya lebih pentingkan kualiti berbanding kuantiti. Mahu tak mahu, saya kena beri perhatian pada kerjaya seni suara yang baru nak kembali aktif ini,” katanya jujur.

PELUANG bekerjasama dengan Mimifly disifatkan Ratu Balqis sebagai satu peluang keemasan yang tidak datang selalu dalam kerjaya seninya yang agak suram selepas Mentor Milenia 2017.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN