fbpx

Pekerja restoran ditetak empat lelaki mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KLANG – Seorang pekerja restoran parah ditetak menggunakan sebilah pedang samurai oleh empat lelaki mabuk dalam kejadian di hadapan tempat kerjanya di Taman Pendamar Permai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, mangsa merupakan lelaki warganegara India berusia 30an ditetak sebanyak lapan kali di kepala dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang tinggal di tingkat atas restoran tersebut berada di hadapan premis berkenaan.

Katanya, sewaktu kejadian restoran tersebut belum lagi beroperasi dan dibuka untuk pelanggan.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek dalam keadaan mabuk telah menghampiri dan menanyakan mangsa sama ada mengenali ‘Siva’ sebelum dimaklumkan tidak tahu.

“Suspek yang berang dibantu tiga lagi lelaki juga disyaki mabuk bertindak menetak kepala dan tangan kanan mangsa menggunakan pedang samurai sepanjang 48 sentimeter (cm),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kata beliau, anggota unit polis peronda kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung pergaduhan tersebut.

Ujar Shamsul Amar, setiba di lokasi kejadian mendapati pergaduhan itu masih berlangsung dan mangsa didapati terbaring dengan kecederaan di kepala dan tangan kanan.

“Polis berjaya menangkap dua suspek termasuk lelaki dikenali Siva yang masing-masing berusia 31 dan 37 tahun.

“Manakala dua lagi suspek dikenali Ermalai dan Murgaeshen berjaya melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan,” katanya.

Dua suspek diburu itu adalah pekerja kepada Siva.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui pedang samurai berukuran 48cm disyaki digunakan suspek.

“Mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini telah menerima 12 jahitan dan beberapa urat saraf tangan kanan putus,” katanya.

Mengulas lanjut, semakan mendapati suspek dikenali Siva itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 8(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958) dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI