fbpx

Litar kawalan kuasa terputus punca gangguan LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh NUR HUDA MUSA

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di antara Stesen Ampang ke Stesen Cahaya mengalami gangguan pagi tadi berikutan litar kawalan kuasa terputus.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, gangguan tersebut sekaligus menghalang bekalan kuasa utama yang diperlukan untuk menggerakkan tren.

“Disebabkan bekalan kuasa yang terputus seawal pukul 4 pagi ini, perkhidmatan tren di antara Stesen Ampang dan Stesen Cahaya, yang terletak bersebelahan antara satu sama lain, tidak dapat beroperasi seperti biasa.

“Kakitangan teknikal telah bergegas untuk menyambung kembali bekalan kuasa tersebut secara manual,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu katanya, pada pukul 7.15 pagi, pihak pusat kawalan operasi telah menyediakan empat buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang dari Stesen Ampang ke Stesen Cahaya dan sebaliknya.

“Daripada Stesen Cahaya, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar atau destinasi mereka dengan menggunakan perkhidmatan “shuttle train” dari Stesen Cahaya ke Stesen Chan Sow Lin.

“Sepanjang gangguan perkhidmatan, kakitangan Rapid KL mengawal pergerakan dan membantu penumpang untuk mengelak kesesakan di platform dan stesen. Selain itu, pengumuman berterusan turut dibuat di dalam tren serta stesen,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, bekalan kuasa telah kembali pulih pada pukul 8.33 pagi, dan perkhidmatan kembali normal pada pukul 8.44 pagi.

Katanya, para penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI