fbpx
MASIDI ketika sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah di Kota Kinabalu. FOTO IVAN AMIRUL

Sebanyak 11,000 sampel Covid-19 masih belum diuji – Masidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Sebanyak 11,000 sampel Covid-19 masih belum melalui ujian pengesanan setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan sudah menunjukkan pengurangan berikutan bilangan sampel terdahulu yang tertunggak adalah 18,000.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah berjaya menjalankan ujian ke atas 7,000 sample semalam.

“Kita juga ingin menerangkan tunggakan sampel yang banyak ini juga adalah faktor penyumbang peningkatan jumlah kes positif Covid-19 baharu yang banyak setiap hari kebelakangan ini.

“Hal ini disebabkan keputusan yang dikemukakan adalah membabitkan kes lama dan baharu sekaligus ia menampakkan peratusan tinggi dan mendadak.

“Selain itu, peningkatan kes Covid-19 di Sabah juga ekoran hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di kawasan jangkitan membabitkan 15 daerah zon merah termasuklah Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah sebentar tadi.

Dalam sidang media sama, Masidi meminta rakyat di negeri berkenaan tidak terlalu risau kerana langkah kawalan pencegehan bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 sudah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurut beliau, seramai 1,577 individu kini dikuarantin di pusat kuarantin manakala seramai 29,470 orang kini diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, Masidi menyatakan kerajaan negeri memberi jaminan sembilan hospital kerajaan seluruh Sabah masih mampu menampung keperluan berkaitan pesakit Covid-19.

“Kita juga sudah mengubahsuai 22 bangunan kerajaan menjadi pusat kuarantin sementara.

“Antara bangunan yang digunakan termasuklah Kampus INTAN Kota Kinabalu, Kompleks Sukan Likas, Dewan Kompleks Sukan Ranau, ILKKM Tawau (Kejururawatan), Kompleks Penjara Tawau, Kompleks Sukan Tawau, Dewan Arena Belia Tawau, Projek Perumahan Rakyat Bubul Ria Semporna dan ILKKM Sandakan.

“Langkah ini dilihat dapat membantu kita menyelesaikan masalah penempatan untuk kes-kes bukan memerlukan pemantauan rapi,” katanya. -K! ONLINE