fbpx

Tengku Zafrul mulakan tugas selepas 14 hari kuarantin kendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul kembali bertugas hari ini selepas menjalani kuarantin kendiri 14 hari.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kembali bertugas hari ini selepas 14 hari menjalani kuarantin kendiri di rumah sejak 5 Oktober lalu.

Biarpun pada hari Sabtu, Tengku Zafrul tetap masuk ke pejabatnya di Kompleks Kementerian Kewangan, Presint 2, di sini bagi menyelesaikan tugas-tugas tertunggak.

“Alhamdulillah, keputusan saringan kesihatan terakhir adalah negatif.

“Kembali bertugas di Kementerian Kewangan hari ini selepas menjalani pemantauan kesihatan kendiri selama 14 hari, seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Pembentangan Belanjawan 2021 semakin hampir jadi mohon doakan semuanya berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, beliau berterima kasih kepada rakan kerja di kementerian yang memberi sokongan dalam tempoh yang kritikal ini, lebih-lebih lagi dengan persediaan Belanjawan 2021.

Menerusi hantaran di Facebook pagi tadi, Tengku Zafrul turut memuat naik gambarnya sedang berjoging di luar rumah iaitu larian pertamanya sejak kuarantin kendiri.

Tengku Zafrul adalah antara tujuh menteri kabinet yang menjalani pemantauan kesihatan kendiri di rumah seperti disarankan Kementerian Kesihatan selepas menjadi kontak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Zulkifli sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu lalu selepas disahkan pulih dari Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI