fbpx

[VIDEO] Pantai Cermin ditutup dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OPERASI dan kerja-kerja pembersihan pantai secara bersepadu dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dilakukan susulan insiden tumpahan minyak yang berlaku di Pantai Cermin, Port Dickson, Isnin lalu.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

PORT DICKSON – Pantai Cermin, Batu 10 dekat sini yang merupakan lokasi insiden tumpahan minyak Isnin lalu akan ditutup selama dua minggu bagi kerja-kerja pembersihan pantai.

Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor berkata, penutupan pantai tersebut kepada kunjungan orang awam itu adalah sehingga operasi pembersihan sisa-sisa minyak selesai dan keadaan persekitaran kembali pulih.

“Pihak kami akan menutup Pantai Cermin ini kepada pengunjung selama dua minggu sehingga kerja pembersihan selesai.

“Operasi pembersihan ini dijangka berterusan hingga keadaan kembali pulih yang dianggarkan mengambil masa seminggu kerana meliputi kawasan sepanjang tiga kilometer pantai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, jelasnya, seramai 90 orang terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan dan swasta terlibat dalam operasi pembersihan pantai tersebut sejak ia dimulakan Rabu lalu.

“Bagi memastikan kerja-kerja pembersihan ini dapat dilakukan dengan segera, pihak kami telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Jabatan Kerja Raya.

“Turut sama, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati mendapati operasi pembersihan pantai rancak dilaksanakan dengan penggunaan pelbagai jentera serta pembersihan secara manual.

Selain pembersihan tumpahan minyak di kawasan persisiran pantai, kerja-kerja membersihkan sisa pencemaran itu turut ditumpukan di kawasan kayu bakau. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI