fbpx

Penduduk tiga kampung di Batu Gajah diserang lalat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasaraman Pachai menunjukan perangkap lalat yang dipenuhi ratusan lalat di Kampung Kinta Valley, Batu Gajah. Foto ZULFACHRI ZULKIFLI.

Oleh ZAKI SALLEH

BATU GAJAH – Kira-kira 3,000 penduduk di tiga buah kampung di sini buntu mencari jalan menyelesaikan masalah serangan lalat yang dihadapi sejak enam bulan lalu apabila aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tidak dilayan, sebaliknya diberi pelbagai alasan.

Tiga kawasan yang terjejas ialah Kampung Tersusun Batu 6 Tanjung Tualang, Kampung Kinta Valley dan Kampung Chendering.

Serangan lalat dipercayai daripada sebuah ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ mengganggu aktiviti seharian penduduk selain dibimbangi membawa penyakit berjangkit.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tersusun Batu 6 Tanjung Tualang, Abdul Wahab Sulaiman, 64, berkata, masalah lalat yang dihadapi kali ini lebih teruk berbanding sebelumnya dan lebih buruk apabila aduan penduduk kepada pihak berkuasa tempatan dan pejabat kesihatan daerah tidak diberi perhatian.

Katanya, penduduk juga berharap pemilik ladang ternakan ayam yang dibuka sejak 15 tahun itu itu beroperasi mengikut aturan yang sepatutnya termasuk menjaga kebersihan kawasan ladang.

“Sebelum ini memang lalat banyak tetapi tidaklah begitu teruk seperti sekarang yang telah berlarutan sejak enam bulan lalu. Kita ada menghantar surat kepada pemilik ladang tetapi tiada perubahan.

“Penduduk jadi keliru apabila pihak Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Kampar pula saling berdolak-dalik menafikan kawasan ini di bawah pentadbiran mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk Kampung Kinta Valley, Pasaraman Pachai, 64, mengeluh apabila dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM50 sebulan untuk membeli pelekat serangga berikutan lalat memenuhi rumah termasuk semasa makan.

“Siapa yang boleh tahan keadaan begini? Nak tidur pun susah sebab lalat datang menghurung muka,” keluhnya.

Masalah serangan lalat juga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun terpaksa dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh apabila telinganya dimasuki serangga tersebut.

Bapa mangsa, Vigneswaran Pasaraman, 33, berkata, kejadian tersebut berlaku pada Isnin lepas setelah anaknya tidak henti-henti menangis lalu dibawa ke hospital itu untuk dibuat pemeriksaan.

“Doktor mengeluarkan serangga itu yang telah masuk jauh ke dalam lubang telinga anak saya. Kerana serangan lalat saya perlu menanggung kos rawatan sebanyak RM800,” katanya berang.

Sementara itu, Ketua Pusat Khidmat Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Rawi Abdullah yang turun padang meninjau keadaan penduduk di situ mahu pihak berkuasa bertindak segera bagi menyelesaikan masalah tersebut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI