fbpx

Kerajaan diminta bantu bekas tentera tidak berpencen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azman (berdiri kanan) beramah-mesra dengan salah seorang veteran tentera dalam majlis Perasmian dan Pelancaran Kutipan Tabung Pahlawan PVATM di Bukit Merah Laketown Resort hari ini. GAMBAR HIASAN

Oleh ZAKI SALLEH

BAGAN SERAI – Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan diminta agar dapat menyelaraskan bantuan bulanan kepada veteran tentera tidak berpencen demi memastikan golongan berkenaan diambil berat sejajar dengan cabaran ekonomi semasa.

Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Bagan Serai, Abu Hassan Basri Abdul Hamid berkata, bantuan berkenaan perlu untuk menjaga kebajikan bekas tentera terutama mereka yang hidup dalam kesempitan.

Katanya, keadaan ekonomi ketika ini yang disebabkan pandemik Covid-19 juga membataskan kegiatan ekonomi yang boleh dilakukan menyebabkan ada yang terjejas sumber pendapatan.

“Veteran-veteran tentera yang tidak berpencen hanya menikmati bantuan ‘one off’ sebanyak RM500 sahaja sebelum ini.

“Bagaimanapun difahamkan kerajaan bercadang untuk menyelaraskan bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada tentera tidak berpencen, namun sehingga kini belum diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas program Perasmian dan Pelancaran Kutipan Tabung Pahlawan PVATM Peringkat Zon Utara di Dewan Sebarau, Bukit Merah Laketown Resort hari ini.

Program dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azman Ghazali mewakili Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Pada majlis tersebut, Noor Azman turut menyampaikan sumbangan kepada PVATM cawangan Bagan Serai berjumlah RM5,000 manakala RM1,000 untuk Tabung Pahlawan.

Ketika ditemui, beliau meminta masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan kecil membantu para veteran tentera dan balu mereka ini dengan menjayakan kutipan Tabung Pahlawan tanpa mengira jumlah yang disumbangkan.

“Bagi Parlimen Bagan Serai, kita turut menawarkan diri membantu PVATM menggerakkan Tabung Pahlawan ini ke sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta.

“Inilah masanya untuk kita menghargai sumbangan para pahlawan tanah air ini yang sanggup mengorbankan masa muda mereka demi negara,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI