fbpx

Bertatih sebelum berjaya menuju ke menara gading

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAJAR Ijazah Sarjana Muda Usuluddin ini meraih pelbagai kejayaan termasuk dilantik menjadi Felo Perdana di Kementerian Wilayah Persekutuan bermula 8 Julai lalu. – KOLEKSI MOHD. NURHAKIM

“DOA ibu dan ayah sentiasa mengiringi perjalanan saya hingga ke saat ini.

“Rahsia kejayaan saya hingga kini juga disebabkan berkat doa dan restu mereka berdua,” ujar Mohd. Nurhakim Abd. Aziz ketika membuka bicara bersama iGen baru-baru ini.

Menurut anak jati kelahiran Kulim, Kedah itu, dia yang kini berada di tahun akhir di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur sentiasa dahagakan restu keluarga dalam apa jua yang dilakukan.

Baginya, tidak kiralah perkara tersebut besar atau kecil sekalipun, berkat doa dan restu ibu bapa serta adik- beradik sangat utama.

Sama seperti orang lain di muka bumi ini, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Dakwah dan Pembangunan Manusia) turut mempunyai impian yang ingin dicapai dalam hidupnya.

Bercerita lanjut, Mohd. Nurhakim yang kini menginjak usia 23 tahun menyatakan, niatnya hanya ingin berjaya menjadi manusia berguna satu hari nanti, sekali gus dapat membalas jasa kedua-dua orang tuanya selain menabur bakti kepada masyarakat kelak.

Anugerah dekan

Menyorot kembali kisah empat tahun lalu ketika dia mula-mula ditawarkan untuk melanjutkan pengajian bagi ijazah pertama di UM, perasaan gembira, teruja dan bangga itu sebati menjadi satu.

“Jujur saya katakan, semasa berada di bangku sekolah rendah dan menengah, saya bukanlah pelajar yang begitu rajin, pandai serta aktif.

“Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia saya pun bukanlah cemerlang. Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa, saya berjaya diterima untuk melanjutkan pengajian ke peringkat asasi di UM kampus Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Jelasnya, perjuangan dan pengorbanannya selama setahun menghabiskan pengajian di peringkat asasi terbalas apabila mendapat anugerah dekan, sekali gus berjaya menempatkan dirinya di peringkat ijazah.

Ditanya mengenai aktiviti luar bilik kuliah, anak keempat dari lima beradik ini menyatakan, dia sememangnya begitu aktif menyertai pelbagai program terutama di peringkat kampus serta kolej kediaman.

“Alhamdulillah walaupun sibuk dengan aktiviti bilik kuliah selain peperiksaan dan tugasan yang perlu disiapkan, saya tetap aktif dan menyertai sebanyak mana program yang diadakan bagi menimba ilmu serta pengalaman.

“Pelbagai cabang program saya sertai. Bukan yang bersifat ilmiah sahaja, program dan aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan serta sukan juga saya ikuti,” ujarnya yang turut aktif dalam sukan bola jaring lelaki, selain salah seorang penggiat seni teater di universiti tersebut.

Tambahnya, dari aspek pentadbiran dan pengurusan universiti pula, dia pernah bertanding Majlis Perwakilan Pelajar UM, namun rezeki tidak menyebelahinya.

Pun begitu, semangat kentalnya tidak luput dan berhenti setakat itu. Pelbagai kejayaan dan pencapaian dikecapi dari hari ke hari sepanjang bergelar mahasiswa.

“Paling manis dan membanggakan, saya antara yang terpilih untuk program pertukaran pelajar selama enam bulan di Universiti Sakarya, Turki.

“Pengalaman tersebut saya gunakan sebaik mungkin untuk menimba ilmu di negara luar di samping berpeluang melihat sendiri kehidupan, budaya dan sistem pendidikan di negara tersebut,” ujarnya.

Tidak terhenti setakat itu, Mohd. Nurhakim turut pernah diberi kepercayaan menjadi panel bagi mengetuai beberapa orang pelajar dari UM ke Universiti Nasional di Jakarta, Indonesia selama seminggu.

“Alhamdulillah, saya baru sahaja menamatkan latihan industri di Seksyen Regulatori al-Quran dan Hadith, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

“Terbaharu, semasa hari terakhir peperiksaan bagi semester akhir 8 Julai lalu, saya mendapat berita gembira mengenai pelantikan sebagai Felo Perdana bagi Kementerian Wilayah Persekutuan hingga 31 Disember tahun ini,” katanya teruja dan menyifatkan peluang tersebut sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.

Menutup bicara, Mohd. Nurhakim yang mendapat anugerah dekan selama tujuh semester berturut-turut memasang impian untuk bergelar sebagai Ketua Setiausaha Kementerian atau pensyarah sebagai kariernya kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI