fbpx

Dua ditahan samun , raba pelajar perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Kegiatan samun dua lelaki yang menyamar sebagai polis dan meraba payu dara seorang pelajar sekolah berakhir selepas ditangkap di Pelabuhan Klang di sini semalam.

Kedua-dua mereka termasuk seorang warga Bangladesh berusia 25 dan 44 tahun itu diberkas pukul 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan mereka susulan laporan polis diterima pihaknya berhubung kes samun sebuah telefon bimbit jenis Iphone 6 milik seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di Jalan Tok Sidang, Kampung Delek Kanan pukul 9 malam, Selasa lalu.

Katanya, dalam kejadian tersebut mangsa yang menaiki motosikal bersama rakannya telah ditahan di tepi jalan oleh suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dan memakai topi keledar dengan visor gelap.

“Suspek yang mengaku sebagai polis itu telah meminta rakan mangsa yang menunggang motosikal tersebut menunjukkan lesen memandu serta menyuruh menelefon ibunya atas alasan akan membawa mereka ke balai polis.

“Mereka yang bimbang mengenai ugutan tersebut kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit sebelum suspek bertindak merampas telefon tersebut dan meraba payu dara mangsa sebelum melarikan diri ,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Shamsul Amar menambah, susulan penangkapan kedua-dua suspek itu, pihaknya merampas sebuah motosikal jenis Demak Evo dan helmet jenis MHR serta dua buah Iphone 6S.

Jelas beliau, kedua-dua suspek turut mengaku terlibat dalam kejadian samun dan cabul tersebut.

“Semakan mendapati seorang daripada suspek yang merupakan warga tempatan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan Akta Senjata 1960 selain dadah.

“Siasatan lanjut masih dilakukan termasuk tempoh penglibatan mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI