fbpx

Empat termasuk Timbalan Ketua Balai Polis didakwa rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menerima rasuah di antara 2016 hingga 2017.

SHAH ALAM – Empat anggota polis termasuk seorang Timbalan Ketua Balai Polis didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berbentuk wang tunai antara Mac 2016 hingga Februari 2017.

Mohamed Azli Azam, 56, berpangkat Sarjan bersama Norulirwanshah Saad, 37, Mohd. Hidmi Idham Azizan, 36, masing-masing merupakan koperal dan Azlan Ab Mutalib, 35, selaku konstabel percubaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azli sebagai Timbalan Ketua Balai Polis Komuniti Bandar Teknologi didakwa menerima wang tunai RM300 dari seorang individu berusia 41 tahun dengan tanpa balasan yang mana kamu mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Mohamed Azli telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia lebih 20 tahun melakukan perbuatan tersebut di balai tersebut pada 14 Mac 2016 itu.

Sementara,  Azlan, Norulirwanshah dan Mohd. Hidmi Idham didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menerima rasuah RM600 dan RM800 dari individu sama.

Norulirwanshah dan Mohd. Hidmi turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama dengan seorang lagi masih bebas dengan niat menerima wang tunai RM800 juga dari individu sama.

Perbuatan tersebut dilakukan oleh ketiga-tiga tertuduh di JJ Harmony Spa, Taman Anggerik Semenyih dekat sini antara 27 Jun 2016 hingga 4 Februari 2017.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab. Wahab dan Tuan Attfina Tuan Kamaluddin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin dan Dir Kheizwan Kamaruddin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang ikat jamin RM3,500 bagi setiap tertuduh berserta seorang penjamin selain salah satu pertuduhan dihadapi Norulirwanshah dikenakan jaminan RM5,000.

Kesemua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di SPRM Selangor setiap awal bulan dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan 10 November depan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI