fbpx

Bekalan air di 274 kawasan pulih sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di 274 kawasan yang telah menjejaskan kira-kira 309,687 akaun pelanggan ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih sejak 4 Oktober lalu telah pulih sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, Pelan Pemulihan Bekalan Air yang telah dilaksanakan membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kembali beroperasi 12 jam lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menurutnya, air bersih yang disalurkan kepada pengguna juga telah melalui ujian kualiti dan pematuhan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Air Selangor berterima kasih kepada semua yang terlibat khususnya para pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual ini.

“Pada masa sama, kami juga ingin berterima kasih kepada semua operator air yang turut membantu mengagihkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, antara operator air yang terlibat ialah Syarikat Air Darul Aman Sdn.Bhd.; Pengurusan Air Pahang Berhad.; Syarikat Air Melaka Berhad; Lembaga Air Perak; Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd.; Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd.

“Ucapan terima kasih juga kami ucapkan kepada pihak berkuasa yang bertindak segera dalam menyelesaikan isu pencemaran air mentah di Sungai Semenyih,” katanya.

Justeru Suhaimi berharap kerjasama daripada pihak berkuasa dan orang ramai amat diperlukan dalam usaha memelihara sungai agar tidak tercemar.

“Kami berharap semua pihak dapat menjadi mata dan telinga dalam melaporkan sebarang pencemaran atau aktiviti mencurigakan berhampiran kawasan sungai.

“Air Selangor akan berusaha sedaya mungkin untuk memberi sokongan kepada komuniti dalam inisiatif dalam menjaga dan memelihara sungai kita,” ujarnya.

Pengguna juga dinasihatkan untuk merujuk aplikasi Air Selangor serta semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.

Kosmo! sebelum ini melaporkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah.

Ekoran henti tugas itu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, seramai 309,687 akaun pengguna di 274 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan empat wilayah iaitu wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI