fbpx

Peguam lepas, bebas tuduhan pecah amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim Haikal (kanan) bersyukur selepas dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah, enam tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang peguam dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada dua pertuduhan pindaan pecah amanah berjumlah RM17,925, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap Ibrahim Haikal Razak, 36, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan perayu melakukan pecah amanah.

Abu Bakar dalam penghakiman pada prosiding di akhir rayuan turut membenarkan rayuan perayu untuk mengenepikan sabitan dan kedua-dua pertuduhan pindaan.

Hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan berkenaan dan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen, turut diketepikan.

“Selepas mahkamah ini meneliti semua rekod rayuan dan memperhalusi hujahan bertulis dan lisan semua pihak didapati tiada keterangan menunjukkan perayu menyimpan wang yang menjadi teras pertuduhan pindaan pertama dan kedua secara niat curang.

“Mahkamah berpendapat perayu melakukan kecuaian kerana wang diterima tidak diserahkan kepada firma Tetuan Tia & Noordin tetapi ini tidak terjumlah kepada pecah amanah apatah lagi tiada keterangan menunjukkan perayu menggunakan wang itu bagi kegunaan peribadi.

“Mahkamah bicara juga gagal menimbangkan keterangan saksi pendakwaan selaku pemilik benefisial wang yang menjadi teras pertuduhan, memberi keizinan kepada perayu untuk membayar balik wang yang diterima sekali gus meruntuhkan tuduhan pecah amanah jenayah terhadap perayu, malah saksi berkenaan langsung tidak membuat laporan polis terhadap perayu, ” katanya ketika membacakan keputusan.

Terdahulu, menerusi pertuduhan pindaan pertama, Ibrahim Haikal sebagai peguam bela dan peguam cara dituduh pecah amanah wang sebanyak RM7,600 yang dibayar seorang wanita kepada Tetuan Tia & Noordin, di sebuah restoran makanam segera di Taman Ungku Tun Aminah, pada 24 Januari 2014.

Pertuduhan pindaan kedua pula dia dituduh pecah amanah RM10,325.80 dari seorang wanita yang lain kepada firma guaman sama, di sebuah restoran makanan segera di Taman Daya pada 8 Februari 2014.

Ibrahim Haikal didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dengan kesalahan pecah amanah, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Amrin Noor Hadi manakala peguam G. Subramaniam dan M. Manian mewakili perayu.

Seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil dalam perbicaraan sebelum ini yang dijalankan selama dua tahun. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI